Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menerima Ketua Umum PKR,
Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diangkat menjadi perdana menteri hanyalah
sekadar mengaburi mata rakyat.
Demikian kenyataan Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo ketika
diminta mengulas mengenai gandingan kedua pemimpin tersebut yang kini
menunjangi Pakatan Harapan (PH) menuju Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)
akan datang.
Kata Ismail, 'penerimaan' itu hanyalah strategi mantan perdana menteri
itu bagi membuka ruang untuk anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir
Mohamad diangkat menyandang jawatan tertinggi tersebut.
"Walaupun Tun M menyatakan bahawa dia setuju Anwar menjadi perdana
menteri saya rasa itu hanya sekadar cakap di depan orang sebab kalau
kita lihat dia sebenarnya nak bawa Mukhriz untuk ke depan.
"Pada saya, rumusannya ialah apa yang dinyatakan oleh Tun Mahathir
terhadap Anwar walaupun dia menjadi perdana menteri itu hanya ucapan
atau pun cakap-cakap yang boleh mengaburi mata rakyat.
"Kita tahu bahawa Tun Mahathir ini adalah orang yang terlalu licik
dalam kata-kata dan perancangan. Walaupun di depan mungkin kita nampak
berbeza tetapi kita tahu dia seorang yang sangat licik dalam membuat
sesuatu di masa akan datang," katanya kepada Antarapos hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail berkata misi untuk menaikkan Mukhriz digerakkan
Dr Mahathir selepas anaknya tewas ketika merebut jawatan Naib Presiden
Umno ketika pemilihan parti pada 2013.
"Kalau kita tengok yang dia (Mahathir) bergaduh dengan Datuk Seri Najib
pun, antara Mahathir dengan Najib. Sebenarnya asasnya adalah kerana
apabila dalam pemilihan Naib Presiden yang lepas, di mana kemenangan
kepada Zahid dan Shapie Apdal pada masa itu yang terakhir adalah Mukhriz
ada menawar diri di saat akhir.
"Lepas tu Mukhriz kalah, daripada tarikh kekalahan itulah bermulanya
retak dan juga pertentangan antara Tun Mahathir dengan Najib," jelasnya.
Terdahulu, wujud dakwaan yang mengatakan kembalinya Pengerusi Parti
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu ke arena politik
adalah bagi mengangkat anaknya, Mukhriz.
Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim sebelum ini
mendedahkan wujudnya perjanjian sulit dimeterai antara Dr Mahathir dan
Penasihat DAP, Lim Kit Siang bersabit calon perdana menteri dan timbalan
perdana menteri selepas PRU14 kelak.
Perjanjian itu kononnya menetapkan anaknya, Mukhriz dan pemimpin
veteran DAP itu masing-masing diangkat sebagai perdana menteri dan
timbalan perdana menteri.
Mukhriz dipecat daripada Umno pada Jun tahun lalu ekoran melanggar
disiplin parti apabila mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan
parti serta dilihat sering menghadiri program anjuran pembangkang yang
tentunya menjadikan Umno sebagai sasaran kritikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.