KLUANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengingatkan rakyat
supaya jangan menggadai masa depan dengan memilih parti yang tidak
stabil untuk mengemudi negara.
Sebaliknya, beliau meminta mereka memilih parti yang kukuh untuk
mentadbir negara yang mana telah membuktikan pencapaiannya menerusi
kejayaan yang dikecapi negara selama ini.
“Jadi, janganlah kita gadai masa depan kita. Janganlah pilih orang yang
bercelaru, tidak tahu siapa tauke sebenarnya. Masing-masing ada
jawatan, tidak tahu siapa bosnya.
“…kita mesti pilih parti yang kukuh terbukti mampu mentadbir negara,”
kata beliau ketika berucap pada Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2017
di Stadium Mini, Taman Sri Lambak, Sembrong di sini, malam tadi.
Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata parti yang
memerintah telah membawa negara mengecapi keamanan dan keselamatan
sehingga menduduki kedudukan ke-29 daripada 163 negara paling aman
berdasarkan statistik Institut Ekonomi dan Keamanan bulan lepas.
Malah, Amerika Syarikat juga sekadar berada di kedudukan corot iaitu
ke-114 dalam senarai negara paling aman, kata perdana menteri.
Najib turut menzahirkan penghargaan terhadap pasukan Polis DiRaja
Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta pasukan-pasukan keselamatan
negara yang telah memberi sumbangan dalam memastikan keselamatan dan
keamanan negara dapat dicapai.
Faktor lain yang turut menyumbang kepada pencapaian menakjubkan negara
ialah kerajaan mempunyai misi, visi dan perancangan bagi membawa rakyat
dan negara mencapai status negara maju pada masa hadapan termasuk
menambah baik sistem pengangkutan awam selari dengan pencapaian negara,
kata beliau.
“Ini termasuk tren berkelajuan tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala
Lumpur dan Singapura melalui Johor serta MRT di Lembah Klang.
“Kita ada kemampuan untuk melaksanakan, kita bukan cakap omong kosong.
Tidak! Kita cakap dan kita boleh buat, bukan macam pembangkang, dia
boleh janji macam-macam tetapi habuk pun tidak dapat.
“Kita boleh buat dan Insya-Allah, kita boleh buat banyak lagi,” kata perdana menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.