BATU PAHAT: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Datuk Zakaria
Arshad mungkin dijadikan kambing hitam dalam krisis dalaman Felda Global
Ventures Holdings Berhad (FGV), kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk
Dr. Mohd. Puad Zarkashi.
Justeru beliau meminta pihak bebas yang dilantik kerajaan untuk
menyelesaikan krisis agensi itu menyiasat usaha pihak tertentu yang mahu
berlaku tidak adil kepada Zakaria.
Puad berkata beliau percaya ada gerakan dan tindakan terancang yang
mahu memastikan Zakaria yang juga Presiden FGV didapati bersalah dan
kemudiannya dipecat.
“Saya difahamkan terdapat usaha untuk memastikan Datuk Zakaria
dijadikan sebagai kambing hitam, didapati bersalah atas semua tuduhan
dan kemudiannya dipecat.
“Apakah motifnya, adakah supaya ada individu lain akan terselamat dan
dilihat sebagai tidak bersalah. Sebenarnya ada pihak yang amat takut
jika Zakaria kekal sebagai Presiden dan CEO sebab beliau memberi
kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),”
katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Hotel Katerina, di sini
sebentar tadi.
Lembaga Pengarah FGV pada awal bulan ini mengarahkan Zakaria dan tiga
pegawai kanan lain supaya bercuti bagi membolehkan siasatan dalaman
dilaksanakan secara terperinci berhubung dakwaan salah laku dalam urus
niaga membabitkan syarikat Safitex Trading LLC kepada anak syarikat FGV,
Delima Oil Products Sdn Bhd.
Zakaria yakin dirinya berada di pihak yang benar di sebalik kemelut yang melanda FGV ketika ini.
Susulan krisis itu, Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad meletakkan jawatan
secara suka rela dan beliau kini dilantik menjadi pemangku Pengerusi
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan