YAN: Pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai yang diluluskan Dewan
Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak perlu dipolemikkan kerana ia bukan
perkara baru di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Jamil Khir berkata orang ramai juga perlu faham, hukuman itu hanya
dilaksanakan terhadap pesalah orang Islam berikutan ia berdasarkan
kepada kesalahan syariah.
“Jangan jadikan isu, amalan ini sudah pun berlaku di luar dari penjara
macam di Tawau (Sabah). (Tetapi) ramai tidak faham hukuman berdasarkan
syariah hanya melibatkan orang Islam,” katanya kepada pemberita selepas
merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Jerai di Guar
Chempedak di sini, hari ini.
PersidanganDUN Kelantan pada Rabu meluluskan rang undang-undang (RUU)
Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang antara lainnya
membolehkan hukuman sebat dijalankan di khalayak ramai.
RUU itu turut memperuntukkan kuasa kepada pegawai penguat kuasa agama
menggunakan gari ke atas suspek selain membenarkan video digunakan
sebagai bahan bukti dalam perbicaraan.
Jamil Khir yang juga Ketua Umno Bahagian Jerai berkata, bagaimanapun
hukuman sebat dalam penjara sebenarnya sudah menepati khalayak ramai
kerana menurut istilah Islam, ia bermaksud melebihi dua orang.
“Dalam penjara itu sudah lebih dua orang termasuk dengan doktor yang
datang melihat, pegawai (penguat kuasa) agama, pengiring pesalah serta
petugas lain,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan