BATU PAHAT: Dua beranak maut dalam kemalangan membabitkan empat buah
kenderaan di Kilometer 9, Jalan Kluang-Batu Pahat, di sini kira-kira
pukul 8.30 malam tadi.
Mangsa yang maut ialah Mohd. Irwan Shah Mohd. Yusop, 36, dan anak
perempuannya, Nur Shahzanani, 17, yang dipercayai turut terbakar 80
peratus dalam kereta jenis Perodua Myvi dinaiki mereka.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata,
kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan mangsa dari arah Sri
Gading menghala ke bandar Batu Pahat hilang kawalan di tempat kejadian.
Ekoran itu, ujarnya, kenderaan terbabit melanggar penghadang jalan dan
masuk ke lorong bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Ford
Fiesta.
“Kemudian, sebuah Honda Civic dari arah Batu Pahat cuba mengelak Ford
Fiesta tetapi tidak berjaya dan melanggar belakangnya, manakala di arah
bertentangan sebuah Proton Satria telah melanggar serpihan kereta mangsa
yang maut.
“Akibat perlanggaran itu kedua-dua mangsa yang dipercayai terbakar
dalam kenderaan mereka disahkan mati di tempat kejadian sebelum
dikeluarkan pihak bomba,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Menurut Abdul Wahib, pemandu Ford Fiesta tersebut mengalami cedera
parah dan dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini untuk
tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.