Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata penyokong pembangkang
harus melupakan sebarang 'dosa' melibatkan beliau dan Datuk Seri Anwar
Ibrahim jika serius mahu menawan Putrajaya.
"Semua orang banyak dosa, kalau ungkit benda lama ia akan pecah
belahkan kita, kalau kita nak menang kita bersatu. Jangan soal tentang
perselisihan faham antara kita. Fokus kepada objektif," katanya pada
forum 'Nothing To Hide 2.0', di Shah Alam hari ini.
Beliau mengupas pemecatan Anwar daripada Umno dan kerajaan yang
disusuli dengan pemenjaraan beliau selama enam tahun atas kesalahan
sodomi pada tahun 1998 semasa Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dan
Presiden UMNO.
Sehingga sekarang penyokong tegar Anwar menganggap Dr Mahathir sebagai
dalang konspirasi politik untuk menjatuhkan Anwar yang menjadi timbalan
beliau dalam kerajaan dan parti ketika itu.
Pada forum hari ini, Mahathir yang kini menjadi pengerusi Pakatan
Harapan dengan Anwar selaku Ketua Umumnya mendakwa Anwar sendiri tidak
menunutut sebarang penjelasan atau memintanya memohon maaf keatas
musibah yang melandanya.
"Saya jumpa dengan Anwar, yang peliknya dia tidak tanya soalan itu.
Anwar tidak tegur saya buat aniaya pada dia atau tidak, itu perkara
lama, kalau kita nak ungkit perkara lama sampai sudah tak habis.
"Saya jumpa Anwar banyak kali, Anwar tak minta pun saya minta maaf," kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir mendakwa beliau dan Anwar bersetuju bahawa Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak perlu dijatuhkan dan menggesa penyokong
pembangkang untuk tidak mengimbau masa lalu.
Forum 'Nothing To Hide' anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)
kecoh apabila hadirin yang tidak dikenali bertindak membaling kerusi dan
botol air ke arah pentas ketika Dr Mahathir sedang menjawab soalan
hadirin.
Kekecohan di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam itu tercetus
apabila individu berkenaan tidak berpuas hati dengan jawapan yang
diberikan Dr Mahathir bersabit peristiwa Memali ketika beliau menjadi
Perdana Menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan