shahbudindotcom
Saya
adalah ahli parlimen pertama yang menyatakan bahawa Tan Sri Isa Samad
akan dijadikan “kambing hitam” untuk dikorbankan bagi menyelamatkan
Dato’ Seri Najib Tun Razak, seawal 17 Februari 2017 seperti yang
dilaporkan Malaysiakini.
Oleh itu, sementara
saya lega kerana akhirnya ada siasatan ke atas penyelewengan wang Felda
yang akan membebankan rakyat Malaysia untuk berpuluh tahun akan datang,
saya juga tidak mudah terpedaya bahawa siasatan ini adalah ikhlas dan
menyeluruh. Saya sudah dapat menghidu seawal Februari 2017 lagi bahawa
ini akan berlaku kerana memang perkiraan itu telah dibuat lebih awal.
Sebab
itu, saya menyeru rakyat Malaysia dan rakan-rakan di dalam Pakatan
Harapan agar tidak ghairah bertepuk tangan dengan penahanan Tan Sri Isa
Samad kerana itu belum tentu akan dapat merungkai kesemuanya sekiranya
penyelewengan ini tidak disiasat secara menyeluruh.
Satu
perkara yang membimbangkan saya ialah bagaimana budaya
pertanggungjawaban di Malaysia ini (baik dalam politik, di tempat kerja,
di jabatan kerajaan dan lain-lain) hanya memberi tumpuan kepada
“kambing hitam” yang menjadi korban.
Jika ada
sesuatu penyelewengan atau pelaburan yang merugikan, hanya “kambing
hitam” itu yang disiasat dan dihukum. Ketua atau badan yang
bertanggungjawab mengawal selia dan meluluskan tindakan-tindakan
“kambing hitam” itu yang akhirnya menyebabkan kerugian tidak disentuh
langsung dan mereka kekal di jawatan mereka.
Sebab
itu apabila sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) rugi besar, yang
dihukum hanyalah Ketua Pegawai Eksekutifnya sedangkan Lembaga Pengarah
yang turut bertanggungjawab membuat kesemua keputusan besar yang
dilaksanakan oleh CEO tidak dikenakan tindakan.
Dalam
kes pembelian hotel-hotel mewah di Kuching dan London oleh Felda yang
menjadi tumpuan siasatan SPRM dan punca Tan Sri Isa Samad ditahan,
beliau bukanlah individu yang tertinggi yang membuat keputusan
pembelian. Ada lagi badan yang lebih tinggi yang sepatutnya telah lebih
awal menolak dan membatalkan hasrat Felda untuk membeli hotel-hotel ini.
Saya
merujuk pengalaman saya mengendalikan skandal pembelian tiga unit
hartanah di Australia oleh MARA yang harganya dinaikkan hampir dua kali
ganda. Kes itu sekarang sudah menjadi siasatan pihak berkuasa (walaupun
belum ada seorang pun yang didapati bertanggungjawab) dan saya sudah pun
menang saman dengan Timbalan Ketua Pemuda Umno yang menuduh saya
memfitnah dalam kes itu.
Dalam kes tersebut,
menteri yang bertanggungjawab ketika itu (Dato’ Seri Shafie Afdal) dan
pengerusi MARA ketika itu (Tan Sri Anuar Musa) dengan secara jelas
mengesahkan bahawa cadangan pembelian hartanah luar negara oleh MARA itu
telah dibentangkan dan diluluskan oleh Majlis Ekonomi yang
dipengerusikan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak.
Malah,
laporan Astro Awani dengan secara jelas juga memetik Tan Sri Anuar Musa
sebagai mengesahkan bahawa “kelulusan dari Perdana Menteri (melalui
Majlis Ekonomi) adalah sebahagian dari prosedurnya”.
Saya telah menyemak laman web Majlis Ekonomi untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai keanggotaannya.
Dato’
Seri Najib telah menetapkan bahawa Majlis Ekonomi mengambil alih tugas
Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaburan yang bertanggungjawab mengenai
hal ehwal pelaburan negara.
Laporan
Malaysiakini yang memetik penerangan Tan Sri Annuar Musa bagaimana
pembelian di luar negara (atau) yang melibatkan pinjaman luar negara
perlu dibawa ke Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri.
Oleh
yang demikian, pembelian hotel di London oleh Felda sudah tentu perlu
melalui proses kelulusan yang sama iaitu perlu dibawa dan diluluskan
oleh Majlis Ekonomi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri di
samping menteri kanan yang lain.
Jika Tan Sri Isa
Samad direman dan disiasat atas dakwaan menerima suapan dari pembelian
hotel tersebut yang menyeleweng duit Felda, maka Dato’ Seri Najib Razak
dan anggota Majlis Ekonomi yang lain juga perlu disiasat untuk
menentukan sama ada mereka juga menerima habuan/suapan kerana merekalah
(Perdana Menteri dan anggota Majlis Ekonomi) yang turut meluluskan
pembelian hotel di London (yang perlu dibawa ke Majlis Ekonomi kerana ia
melibatkan pelaburan luar negara).
Jika ada bukti
mereka tahu bahawa pembelian itu ada unsur penyelewengan kerana
harganya lebih mahal tetapi mereka tetap meluluskannya, mereka perlu
disiasat pula sama ada mereka mendapat habuan. Jika ada bukti mereka
mendapat habuan, mereka juga perlu ditahan seperti Tan Sri Isa Samad.
Jika
mereka tidak tahu ada unsur penyelewengan dalam pembelian itu tetapi
gagal mengenal pasti risiko pelaburan dan gagal menyemak bahawa harga
yang perlu dibayar Felda adalah terlalu tinggi, maknanya mereka tunggul
yang makan gaji buta kerana gagal/cuai menjalankan amanah sebagai
anggota Majlis Ekonomi. Mereka perlu dipecat atau jika mereka bermaruah,
mereka perlu meletakkan jawatan.
Budaya rasuah
menjadi begitu mendalam dan parah di negara kita bukan disebabkan dua
tiga orang yang ditangkap terlibat di dalam penyelewengan. Mereka
sebenarnya hanyalah sebahagian kecil dari satu ekosistem pentadbiran
negara yang mendokong dan membenarkan rasuah berleluasa. Jika kita
benar-benar mahu membanteras rasuah, kita perlu memerangi keseluruhan
ekosistem rasuah ini termasuklah dengan menuntut satu teladan
pertanggungjawaban yang tertinggi di kalangan menteri dan pegawai kanan
kerajaan yang menduduki kerusi-kerusi penting seperti Majlis Ekonomi.
Oleh
itu, walaupun Tan Sri Isa Samad telah dikambing hitamkan, itu tidak
bermakna Dato’ Seri Najib boleh mencuci tangan. Beliau perlu dipanggil
SPRM untuk disiasat untuk menentukan sama ada sebagai Pengerusi Majlis
Ekonomi, beliau telah meluluskan pembelian ini (jika dibawa) dan sebab
musabab beliau berbuat demikian sedangkan jelas harga yang dibayar Felda
adalah jauh lebih tinggi dari yang sepatutnya.
Rafizi Ramli
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN
Ulasan Blog - Meskipun
barangkali sudah ramai yang membacanya, sebenarnya agak menarik untuk
terus dihalusi segala huraian dan pandangan yang diluahkan oleh Rafizi
Ramli dalam isu Felda susulan penahanan reman Isa Samad selama lima hari
oleh SPRM bermula semalam.
Apakah
sebenarnya peranan Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Najib Razak dalam
hal-hal yang berkaitan dengan pelaburan di luar negara?
Berdasarkan
aturannya, dalam soal Felda membeli hotel di London iaitu satu bentuk
pelaburan di luar negara, Najib tidak seharusnya diketepikan begitu saja
dari segi pertanggungjawabannya, tambahan lagi sejak beliau menjadi
Timbalan Perdana Menteri lagi, Felda memang berada di bawah pemantauan
dan penyeliaannya.
Maknanya, dalam sosl pembelian hotel di London, Majlis Ekonomi harus dipertanggungjawabkan sama.
Berhubung
pembelian hotel di Kuching pula iaitu Merdeka Palace, terdapat gambaran
daripada kalangan mereka yang dekat dengan Isa Samad bahawa keputusan
Felda membeli hotel tersebut adalah atas arahan Perdana Menteri sendiri.
Dikatakan
hotel itu adalah milik PBB, parti pimpinan Abang Johari Abang Haji
Openg yang kini menjadi Ketua Menteri Sarawak. Urusan penjualan hotel
tersebut didakwa terlebih dahulu dikemukakan kepada Najib untuk
pertimbangannya, sebelum beliau kemudian dikatakan mengarahkan Felda
untuk membelinya.
Sekiranya
benar Felda membeli hotel di Kuching itu atas permintaan Najib dan
pembelian hanya sebagai memenuhi arahan Perdana Menteri, adakah Najib
boleh lepas tangan begitu saja?
Jika
pun harga pembelian itu terlalu tinggi dan melebihi harga pasaran, sama
seperti pertanyaan Rafizi mengenai pembelian hotel di London iaitu
apakah Majlis Ekonomi hanya tunggul yang makan gaji buta yang tidak
membuat pemeriksaan, adakah juga Najib yang memantau dan menyelia Felda,
tidak memeriksa terlebih dahulu harga hotel di Kuching yang mahu dibeli
itu?
Ataukah Najib hanya bersetuju saja dan tidak menyoal banyak mengenai pembelian itu semata-mata kerana ia melibatkan PBB?
Bagaimana jika Isa Samad berterus-terang memberitahu SPRM mengenai perkara itu?

Tiada ulasan:
Catat Ulasan