shahbudindotcom
Sejak
berkawan dengan Pas, salah satu perubahan paling ketara pada Najib
Razak ialah beliau didapati gemar menggunakan perkataan-perkataan Arab
dalam ucapannya.
Mula-mula
kita mungkin hanya selalu mendengar beliau mengucapkan perkataan
"wassatiyah" saja, tetapi lama-kelamaan semakin banyak perkataan Arab
yang dilafazkannya.
Untuk
mengajak ahli parti setia kepada pemimpin, Najib kemudian beberapa kali
menyebut perkataan "wala'" dalam ucapan atau tulisan di blog dan media
sosial yang lain.
Sebelum
ini, perkataan "wala'" adalah sinonim dengan Pas dan para pemimpinnya
hampir tidak lekang daripada bibir menyebut perkataan tersebut setiap
kali berdepan dengan isu perpecahan dalam parti itu.
Kini,
selain "wassatiyah" dan "wala'", Najib maju setapak lagi dengan sudah
pandai menyebut "tabayyun" pula yang bermakna sikap ingin menyelidik
atau mencari kepastian terlebih dahulu tentang sesuatu perkara sebelum
menyatakan pendirian.
Yang
menariknya, dalam menyebut perkataan "tabayyun" itu, Najib juga
menujukannya kepada Pas yang dianggapnya memiliki sifat tersebut dalam
isu 1MDB kerana sedia mengadakan pertemuan dengan Arul Kanda Kandasamy
terlebih dahulu untuk mendapat maklumat sebenar mengenai syarikat
pelaburan sarat hutang itu sebelum menyatakan pendirian berpuas hati
terhadap pelan rasionalisasinya.
Dalam
lawatannya di Kelantan semalam pula, berhubung bantuan kerajaan Pusat
terhadap kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang, Najib
berkata, beliau tidak memikirkan undi mengenainya, sebaliknya hanya
mengharapkan pahala daripadanya.
Sekurang-kurangnya,
walaupun tak dapat undi, saya akan dapat pahala di akhirat. Semoga
dengan tindakan itu juga lebih memajukan lagi negara ini, tambah beliau.
Dengan
tidak mengharap undi, tetapi hanya mengharap akhirat, sekali lagi apa
yang dilakukan Najib ini juga mirip dengan tindakan Pas yang selalu
menyebut, perhitungan perjuangan mereka ialah untuk menang di akhirat
dan bukannya menang pilihanraya semata-mata.
Tetapi, kenapa Najib tiba-tiba saja lebih memikirkan pahala akhirat daripada undi?
Adakah ia petanda beliau sudah menjangka UMNO dan BN akan kalah pilihanraya?



Tiada ulasan:
Catat Ulasan