SHAH ALAM: Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim
mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak
yang sengaja menimbulkan keganasan lebih-lebih lagi menjelang pilihan
raya umum ke-14.
Anwar yang sedang menjalani hukuman lima tahun untuk sabitan liwat,
melahirkan kebimbangannya turut berkata, sekiranya ia tidak ditangani
bimbang keganasan seperti itu akan meningkat.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai keganasan yang berlaku semasa forum Nothing to Hide 2 semalam di Shah Alam.
“Pengalaman PRU-13, di mana beberapa serangan termasuk baling batu dan
memecah cermin bas yang saya naiki berlaku tanpa sebarang tindakan oleh
pihak polis.
“Maka kami mendesak kerajaan untuk bertindak tegas terhadap gerombolan
tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Biro
Komunikasi, PKR.
Forum anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang berlangsung di
Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam pada petang Ahad bertukar
kecoh selepas seorang peserta yang bertanyakan soalan perihal tragedi
Memali, bertindak membaling kerusi dan botol air ke arah pentas.
Ketika itu Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad sedang berucap.
Susulan itu, beberapa peserta lain bertindak menyala suar yang memaksa hadirin yang datang lari bertempiaran keluar dewan.
Acara yang bermula pada jam 3 petang itu kemudian bertukar menjadi
ganas pada kira-kira jam 5.30 petang ketika Mahathir berucap kepada
orang ramai.
Polis kemudiannya menahan tiga renaja yang berpakaian baju-t Pemuda PPBM, berkaitan dengan kejadian itu.
Walau bagaimanapun, Pemuda PPBM menafikan bahawa suspek berkenaan adalah anggotanya.
Sayap itu juga mendakwa bahawa ada yang dibayar untuk menyamar sebagai anggotanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.