PARTI Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) melahirkan
rasa kecewa dengan sikap biadap sesetengah individu yang seolah-olah
dirancang apabila bertindak membaling kerusi dan membakar suar di dalam
program 'Nothing To Hide'.
Naib Presiden Ikatan Datuk Seri Mohamad Badri Abdul Rahman berkata,
program wacana dan dialog seperti itu sepatutnya dimanfaatkan sebaiknya
oleh peserta sebagai platform untuk mengetahui kebenaran atas apa yang
hendak didebatkan.
"Saya kecewa, kerana setiap program selalunya menjadi program yang
baik bertukar menjadi program anarkis. Peserta sepatutnya berjiwa besar
dan mendengar serta faham atas apa yang hendak didebatkan bukan berbalah
antara satu dengan yang lain," katanya kepada Harakahdaily.
Beliau berkata, tidak dapat dinafikan jasa bekas Perdana Menteri Tun
Mahathir kepada negara sebelum ini bagaimanapun beliau tidak seharusnya
dicemari dengan insiden yang memalukan.
"Membakar suar kepada seorang bekas Perdana Menteri yang telah
membuat jasa kepada rakyatnya dan negara apakah salah beliau kepada
pengkhianat biadap yang merancang dan pelaku tidak mempunyai moral dan
berpendidikan ini," tambah beliau.
Justeru, beliau berharap pihak polis dapat menghadirikan diri di
dalam semua acara perhimpunan yang mendapat kelulusan agar peristiwa
sebegini tidak berulang demi keselamatan bangsa dan negara.
Program Nothing To Hide 2.0 anjuran Armada Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (PPBM) yang berlangsung di Dewan Raja Musa, Seksyen 7 bertukar
kecoh apabila dicemari insiden balingan suar, kerusi, kasut dan botol
air daripada beberapa individu yang hadir.
Insiden kira-kira 5.10 petang itu bermula apabila seorang penonton
lelaki bertanya kepada Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung
tragedi Memali di Baling, Kedah pada September 1985.
Ketika di soal mengapa tragedi Memali tersebut diisytiharkan darurat
dan pihak yang terlibat dibunuh, Dr Mahathir menjelaskan itu adalah
prosedur operasi standard polis ekoran empat anggota polis turut
terbunuh dalam kejadian tersebut. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.