Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: ADUN Penanti Dr Norlela Ariffin menyatakan kesediaan untuk
bekerjasama sekiranya beliau dipanggil untuk memberi keterangan bagi
membantu siasatan berhubung sebuah kilang haram di Sungai Lembu di
kawasan DUN-nya.
Namun katanya setakat ini, beliau masih belum dihubungi SPRM bagi memberi keterangan berkenaan isu itu.
"Saya rasa dari segi undang-undang memang saya kena jawab.
"Saya tiada masalah (untuk beri keterangan) sebab saya memang rasa saya
tidak membuat apa-apa kesalahan, saya hanya membangkitkan isu ini
daripada aduan penduduk sejak tahun 2015," katanya ketika dihubungi
Antarapos.
Terdahulu, Exco Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang, Phee
Bon Poh ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung operasi sebuah
kilang haram yang memproses penapis karbon di Kampung Sungai Lembu.
Ia sebagai sebahagian daripada siasatan pelbagai agensi ke atas kilang
berkenaan yang didakwa telah melanggar undang-undang alam sekitar dan
sebagainya.
ADUN Sungai Puyu itu bagaimanapun telah dibebaskan hari ini selepas
hakim Lim Chong Fong membatalkan keputusan penolong pendaftar yang
dibuat Sabtu lalu.
Pembatalan tahanan reman iu dibuat selepas Peguam Bon Poh, RSN Rayer
dan Ramkarpal Singh menyatakan perintah reman selama lima hari terhadap
anak guamnya bukan sesuatu yang lazim kerana dikeluarkan tanpa mendengar
hujah anak guam mereka.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas isu pimpinan PKR negeri itu
yang menjarakkan diri daripadanya selepas ucapan 'terima kasih' yang
dibuatnya, beliau berkata perkara sedemikian tidak timbul kerana ahli
parti memahami tugasnya sebagai wakil rakyat di negeri itu.
Malah katanya, Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Dr Mansor Othman
menghargai usaha yang telah dilakukan oleh beliau sebagai wakil rakyat
di kawasan itu yang telah membangkitkan isu tersebut hasil daripada
aduan penduduk sejak daripada tahun 2015.
"Beliau (Mansor) menganggap apa yang saya buat (aduan) itu adalah tugas
saya sebagai wakil rakyat membangkitkan isu dalam aduan penduduk di
kawasan dan pada masa yang sama sebagai parti mereka bersama dengan
kerajaan negeri sebab kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan.
"Sebagai parti, mereka menyokong kerajaan negeri dan cuma tindakan saya
itu sebagai tindakan biasa sahaja sebagai wakil rakyat menerima aduan,
saya perlu bangkitkan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.