PUTRAJAYA: Akibat mencabul kanak-kanak perempuan enam tahun dengan
memberikan wang RM5 selepas kejadian, seorang anggota tentera terpaksa
meringkuk di penjara selama 12 bulan dengan satu sebatan bermula Isnin.
Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Wira Mohtarudin Baki yang mengetuai panel
tiga hakim mengekalkan hukuman penjara 12 bulan dan satu sebatan yang
diputuskan Mahkamah Majistret Sungai Petani, Kedah terhadap Mohd
Shahrizal Abdul Halim, 35.
Hakim Mohtarudin yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Seri Zakaria
Sam dan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata hukuman oleh
Mahkamah Majistret itu adalah berpatutan.
Panel itu membuat keputusan sebulat suara selepas membenarkan rayuan
pihak pendakwaan supaya sabitan terhadap responden ( Mohd Shahrizal)
dikekalkan dan mendapati rayuan itu mempunyai merit.
Pihak pendakwaan juga memohon untuk mengetepikan keputusan Mahkamah
Tinggi Alor Setar yang memerintahkan supaya kes itu dikembalikan ke
Mahkamah Majistret untuk dibicarakan semula.
"Perintah Mahkamah Tinggi diketepikan dan digantikan dengan sabitan dan
hukuman 12 bulan penjara dengan satu sebatan seperti yang dijatuhkan
oleh Mahkamah Majistret," kata Hakim Mohtarudin.
Mohd Shahrizal dihantar ke Penjara Kajang. Isteri dan anaknya turut hadir di mahkamah.
Dia didakwa mencabul kehormatan kanak-kanak itu di sebuah rumah di
Sungai Petani, Kedah, antara 12.30 tengah hari hingga 2 petang, antara 7
Ogos hingga 8 Ogos 2012.
Pada masa kejadian responden yang telah berkahwin dan mempunyai
seorang anak itu telah pergi ke rumah saudaranya di mana mangsa adalah
anak kepada jiran saudaranya.
Mengikut keterangan kes, ketika kejadian responden telah memanggil
mangsa yang sedang bermain di luar rumah supaya masuk ke dalam rumah.Dia
telah memberi kanak-kanak itu makan dan selepas itu mengajaknya masuk
ke dalam bilik.
Selepas mangsa menangis dia kemudiannya memberikan wang RM5 kepada kanak-kanak itu.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun dalam hujahannya
berkata mengikut laporan perubatan terdapat lebam pada kemaluan mangsa
dan responden juga tidak menafikan dia memberikan wang RM5 itu.
Peguam Anwar Raof yang mewakili responden pula berhujah kejadian cabul
itu tidak berlaku kerana keterangan saksi yang juga tuan rumah tempat
kejadian menyatakan dia tidak mendengar kanak-kanak itu menangis atau
menjerit ketika kejadian.
Pada 5 Mei 2015 Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman 12 bulan dengan
satu sebatan terhadap tertuduh selepas didapati bersalah atas pertuduhan
itu.
Pada 28 Jun 2016 Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan tertuduh dan
memerintahkan supaya kes itu dibicarakan semula di Mahkamah Majistret.
Tidak berpuas hati dengan keputusan Itu, pihak pendakwaan merayu di Mahkamah Rayuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan