IPOH: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima
6,275 aduan berkaitan penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi media baru
di seluruh negara dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.
Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan, Zulkarnain Mohd
Yasin, berkata angka itu meningkat sebanyak 21 peratus berbanding 4,919
aduan sepanjang tahun lalu.
Katanya, aduan tertinggi membabitkan aplikasi media sosial Facebook
iaitu sebanyak 75 peratus diikuti media sosial lain seperti WhatsApp dan
Twitter.
"Kita melihat trend aduan juga didapati meningkat sejak dua kali pilihan raya sebelum ini.
"Kita sudah menjangkakan dan kita memperbanyakkan program kesedaran
supaya pengguna bertanggungjawab memastikan kandungan yang dikongsi
tidak melanggar undang-undang," katanya.
Beliau berkata demikian selepas perasmian Seminar Perundangan Mengenai
Penyalahgunaan Media Sosial dan Impak Kepada Negara anjuran SKMM di
sini.
Program itu yang disertai 1,000 peserta dirasmikan Pengerusi
Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan
Komunikasi negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi yang mewakili
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Zulkarnain berkata, trend peningkatan jumlah aduan bergantung kepada
penggunaan jalur lebar iaitu semakin tinggi kadar penembusan jalur lebar
maka semakin meningkat aduan yang diterima.
Beliau berkata, bagaimanapun bagi Perak, statistik aduan menurun
sebanyak 25 peratus apabila hanya 44 aduan diterima dalam tempoh
berkenaan berbanding 59 aduan tahun lalu.
Katanya, dari aspek melindungi pengguna, SKMM membuat sebanyak 2,765
sekatan terhadap laman sesawang dan jumlah berkenaan sebanyak 40
peratus.
"Ingin ditegaskan laman sesawang yang disekat adalah berkaitan isi
kandungan yang merosakkan, lucah, bersifat palsu, sumbang, mengancam dan
juga jelik.
"Bagi aspek isi kandungan pula, kita paling banyak menyekat unsur laman
sesawang yang berbentuk jenayah siber phising (mencuri maklumat kata
laluan bagi memasuki data maklumat peribadi seseorang)," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.