Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Mana-mana ahli DAP yang tidak berpuas hati dengan keputusan
pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) semalam, diminta
menghantar surat aduan kepada jawatankuasa berkenaan.
Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Ng Suee Lim berkata, pihak yang
berkenaan boleh menghantar aduan bertulis untuk menyuarakan bantahan
mereka menerusi saluran parti.
"Mereka yang tidak berpuas hati dengan (pemilihan semalam) boleh buat
aduan kepada CEC, tentang ketidakpuasan hati mereka mengikut saluran
biasa," katanya dalam sidang di lobi Annexe sebentar tadi.
Ng yang juga ADUN Sekinchan berkata demikian ketika ditanya mengenai
terdapat perwakilan yang mendakwa mereka tidak menerima notis mengenai
pemilihan semula dan tidak berpuas hati dengan senarai calon yang
bertanding untuk menduduki 20 jawatan dalam CEC itu.
Sementara itu Penolong Bendahari DAP Selangor yang juga ADUN Bukit
Tunku, Lau Weng San menjelaskan keseluruhan proses pemilihan semula
semalam termasuk penghantaran notis kepada perwakilan, diuruskan oleh
firma audit bebas Grant Thornton yang beribu pejabat di Amerika
Syarikat.
"Pemilihan semalam diuruskan sepenuhnya oleh syarikat luar dan tiada
kaitan dengan mana-mana ahli, sukarelawan atau pemimpin parti,"
katanya.
Grant Thornton merupakan firma audit bebas yang dipilih DAP untuk
mengendalikan pemilihan semula mereka semalam, dan pemilihannya
dipersetujui Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Pegawai Pemilihan, John Lau semalam memaklumkan sebanyak 2,514 notis sudah dihantar kepada perwakilan.
Bagaimanapun hanya seramai 1,356 atau 53.94% perwakilan yang hadir.
Daripada 1,356 kertas undi yang dikeluarkan, hanya 1,346 kertas undi yang dikembalikan semula.
Keputusan semalam menyaksikan dinasti Lim, terus mengungguli senarai
CEC. Lim Kit Siang menduduki tempat pertama dengan memperoleh 1,199
undi, manakala anaknya Lim Guan Eng menduduki tempat ketiga dengan
jumlah undi 1,180.
Kedua-dua pemimpin itu juga mengekalkan jawatan masing-masing dalam
parti, dengan Kit Siang mengekalkan jawatan sebagai Ketua Parlimen DAP.
Guan Eng pula terus mempertahankan jawatannya sebagai Setiausaha Agung.
Wakil tunggal Melayu, Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari
menduduki tempat ke-19 daripada senarai 20 anggota CEC DAP dengan
memperoleh 649 undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.