KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjalani pembedahan pada 12 November ini susulan kecederaan pada bahunya.
Anak perempuan Anwar, Nurul Nuha berkata, pembedahan yang akan
dilakukan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu perlu dijalankan segera
selepas kecederaan pada bahu kanan bapa mereka semakin teruk ekoran
terlibat dalam kemalangan pada September lalu.
“Beliau akan menjalani pembedahan ‘arthroscopic’ untuk melegakan
kesakitan," katanya dalam sidang media di kediaman keluarganya di
Segambut hari ini.
Turut bersama dalam sidang media itu adalah dua lagi anak perempuan Anwar, Nurul Iman dan Nurul Ilham.
Tambah Nurul Nuha, bapa mereka akan dimasukkan ke HKL untuk penilaian pra-pembedahan esok.
Beliau dalam pada itu berkata, keluarganya memberi keyakinan penuh
kepada kakitangan perubatan HKL, dan berharap agar kerajaan memberi
jaminan semua rawatan perubatan yang diperlukan pemimpin pembangkang itu
akan diberi tanpa sebarang campur tangan.
Selain itu, tambahnya, mereka juga mengharapkan Anwar diberi akses
sepenuhnya kepada kemudahan pemulihan di hospital memandangkan akses
kepada kemudahan tersebut cukup terhad untuk penjagaan selepas
pembedahan di Penjara Sungai Buloh.
Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) itu pada 22 September lalu terlibat
dalam kemalangan apabila kenderaan yang dinaikinya dilanggar kenderaan
pengiring dari belakang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan