KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan bergelar “Datuk Seri” yang
didakwa menyerang dan mencederakan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia
(RELA), minggu lepas, sekali lagi dihadapkan di dua Mahkamah Majistret
berasingan hari ini atas dua tuduhan menggunakan dadah.
Liow Soon Hee, 29, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan
yang dibacakan di hadapan Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki di
Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dan Majistret Haslinda A Raof di
Mahkamah Majistret Ampang.
Di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Liow didakwa atas pertuduhan
menggunakan dadah berbahaya jenis methamphetamine di tandas pejabat
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang
Wangi, pada jam 9.40 malam, 11 Feb 2014.
Seperti yang dilaporkan sebuah agensi portal berita, dia didakwa
mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan
hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda sehingga RM5,000 dan
perintah pengawasan sehingga 3 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Akmal Anuar menawarkan wang jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin terhadap Liow.
Peguam Farhana Abd Halim memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan
anak guamnya didakwa di Mahkamah Ampang Jumaat lalu atas pertuduhan
lain.
Majistret Namirah Hanum membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000
dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor
diri sebulan sekali di balai polis berdekatan.
Mahkamah menetapkan 4 Disember ini untuk sebutan semula kes.
Di Mahkamah Majistret Ampang, Liow didakwa menggunakan dadah berbahaya
iaitu amphetamine dan methamphetamine di pejabat Bahagian Siasatan
Jenayah Narkotik IPD Ampang Jaya, pada jam 5 petang, 30 Oktober lepas
mengikut seksyen yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abdul Razak menawarkan wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Haslinda membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang
penjamin warganegara Malaysia dan menetapkan 14 Disember ini untuk
sebutan semula kes.
Jumaat lepas, Liow mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang
atas 4 pertuduhan menyebabkan cedera parah, menyerang penjawat awam dan
menyebabkan kecederaan kepada 3 anggota RELA yang sedang bertugas di
sebuah tokong di Kampung Baru Ampang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan
hukuman penjara maksimum 7 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit
kesalahan.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, 3 anggota RELA iaitu Melvin
Cheong Mun Khai, 19, Lee Weng Poh, 27, dan Leong Jun Jie, 21,
masing-masing mengalami kecederaan di kepala, mata dan perut selepas
mendakwa dipukul dan ditendang lelaki itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan