Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali berkata isu
berbangkit mengenai kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa
menghina keturunan Bugis, perlu diselesaikan secara baik tanpa melalui
media.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan ADUN Barisan
Nasional (BN) yang mempersoalkan sikap membisunya berhubung isu
berkenaan.
"Saya yakin perkara ini boleh diselesaikan secara baik tanpa melalui
media khususnya Utusan Malaysia," kata Azmin ketika ditemui pemberita di
lobi Bangunan SUK di sini hari ini.
Terdahulu, ADUN BN pada tengah hari tadi mengadakan sidang media
menyatakan rasa kesal dengan tindakan Speaker DUN, Hannah Yeoh yang
menolak usul tergempar bagi membahaskan isu kenyataan mantan perdana
menteri itu yang didakwa menghina keturunan Bugis ketika berucap di
Himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi, bulan lalu.
Mereka juga mempersoalkan mengapa Azmin membisu dan tidak
mempertahankan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang
menzahirkan rasa kecewa dan murka ekoran tindakan Pengerusi Pakatan
Harapan (PH) itu.
Susulan itu, BN Selangor akan menghantar satu memorandum kepada Sultan
Sharafuddin esok bagi menyatakan sokongan terhadap baginda.
Ketika diminta mengulas perkara itu, Azmin yang juga ADUN Bukit
Antarabangsa berkata, sesiapa saja boleh menghantar memorandum kerana ia
amalan demokrasi.
"Takkan saya boleh halang, itu demokrasi, siapa nak hantar, hantar lah.
Tapi perkara yang berbangkit antara Dr Mahathir dengan dakwaan kononnya
beliau menghina masyarakat Bugis, itu boleh diselesaikan secara baik,
bersopan, tanpa campur tangan media," katanya.
Sultan Sharafuddin baru-baru ini menzahirkan rasa kecewa dan murka
ekoran tindakan sebilangan pemimpin yang mempersendakan isu bangsa dan
keturunan sebagai modal politik.
Baginda bertitah, tindakan Dr Mahathir itu boleh mengugat keharmonian dan perpaduan rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan