Oleh Ainor Rahim
CHERAS: Seorang perwakilan Gerakan Kedah, Chuah Chong Yong hari ini
mengkritik 'hubungan baik' antara Penasihat DAP, Lim Kit Siang dengan
mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sedangkan kedua-dua
pemimpin itu merupakan seteru sebelum ini.
Ujarnya, hubungan baik Kit Siang dengan Dr Mahathir seolah-olah
mempunyai muslihat tertentu, namun beliau berkata ia bukan sesuatu yang
perlu ditakutkan memandangkan 'sejarah' Pengerusi Pakatan Harapan (PH)
itu kini diketahui umum.
“Tun Mahathir telah selama 30 tahun marah Lim Kit Siang. Kata anti
Islam, anti Melayu semua bukan bukan. Serta yang tangkap (Kit Siang)
dalam Ops Lalang. Tetapi mereka berpelukan sekali, 'bercium' sekali.
"Mengapa Lim Kit Siang boleh kerjasama dengan Tun? Apa matlamat mereka. Jangan takut!
"Sekarang kita sudah dapat idea. Kita sudah nampak segala muslihat. Apa
yang Tun M buat selama ini. Kita tengok siapa yang buat penswastaan,
beli balik saham MAS. Ini semua dari pucuk pimpinan yang lalu,” katanya
ketika sesi perbahasan sempena Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan
yang ke-30 hari ini.
Dr Mahathir ketika pemerintahannya sebelum ini pernah mengarahkan
penahanan lebih 100 individu menerusi gerakan yang dinamakan sebagai
Operasi Lalang.
Kit Siang adalah salah seorang yang turut ditahan dalam operasi tersebut.
Operasi Lalang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan
Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 27 Okt 1987 dengan menahan individu
yang dianggap mengeruhkan politik semasa.
Isu berkenaan kembali hangat, apabila sebuah NGO menuntut bekas perdana
menteri itu meminta maaf atas penahanan individu-individu berkenaan
tanpa bicara semasa operasi yang diadakan 30 tahun lalu itu.
Dalam pada itu Chuah turut mengkritik Kit Siang ekoran dilihat masih
enggan 'bersara' sungguhpun sudah menyertai pilihan raya umum selama 50
tahun.
“Lim Kit Siang sudah bertanding selama 50 tahun. Saya nak tanya, adakah
dia nak bertanding pada pilihan raya akan datang? Cukuplah masa untuk
bersara!
“Bagi orang muda pula. Jangan dia selalu hentam-hentam orang,” katanya.
Kit Siang walaubagaimanapun sebelum ini berkali-kali mengumumkan bahawa
PRU14 akan menjadi pilihan raya terakhir beliau setelah berkecimpung
di dunia politik selama 51 tahun.
Namun beliau tidak menyatakan secara jelas kerusi yang akan ditandinginya.
Sebelum ini, spekulasi bertiup kencang bahawa Ahli Parlimen Gelang
Patah itu akan membuat kemunculan semula di Pulau Pinang, berikutan
kekerapannya turun padang dan menyertai aktiviti parti di negeri itu
sejak awal tahun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan