KUALA LUMPUR: Kerajaan pusat masih memerlukan kepakaran pendakwah
Zamihan Mat Zin mengendalikan program pemulihan tahanan militan Daesh di
Penjara Tapah, Perak.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata,
walaupun kerajaan negeri Selangor tidak membenarkan beliau memberi
ceramah di negeri itu, namun kepakaran Zamihan dalam bidang pemulihan
akidah militan masih boleh digunakan.
“Dalam perkara ini Zamihan adalah salah seorang pakar pemulihan dan
mengikut rekod, kejayaan pemulihan akidah yang dilaksanakan Zamihan
cukup berjaya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama
Hari Inovasi Huawei Asia-Pasifik 2017 di Kuala Lumpur hari ini.
Katanya lagi, Zamihan adalah aset penting dalam usaha pemulihan akidah
pengganas khusus untuk mengembalikan mereka ke jalan benar.
Beliau mengulas kenyataan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR,
Latheefa Koya yang mempersoalkan tindakan kerajaan pusat membiarkan
Zamihan terus mengendalikan program pemulihan tahanan militan Daesh
walaupun beliau (Zamihan) tidak dibenarkan memberi kuliah di Selangor.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Zamihan adalah
pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dipinjamkan kepada
Kementerian Dalam Negeri untuk menyemak penerbitan agama dan kini
ditempatkan di Jabatan Penjara Malaysia sebagai pegawai pemulihan
pengganas dan penjenayah ekstremis.
“Saya tidak fikir beliau harus dihukum dengan jawatan yang diberikan di penjara itu," katanya.
Oktober lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan
supaya Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik tauliah mengajar
daripada penceramah kontroversi itu.
Menurut kenyataan melalui Setiausaha Dewan Diraja Selangor Hanafisah
Jais, baginda memperkenankan tindakan itu melalui Peraturan 4,
Peraturan-peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan