Halaman

Selasa, 7 November 2017

PM puji surau, masjid lindungi bukan Islam

MALAYSIAKINI

Tindakan beberapa surau dan masjid yang membuka pintu sebagai tempat berteduh bagi mangsa-mangsa banjir tanpa mengira agama dan kaum adalah tepat, wajar dan sesuatu yang harus dipuji, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menulis di Facebook, beliau berkata, tindakan berkenaan memenuhi tuntutan agama dan menggambarkan semangat 1Malaysia Negaraku yang patut dicontohi.

“Islam mengajar kita berkasih sayang, dan saya teringat kisah Rasulullah SAW yang memberi perlindungan kepada semua tanpa mengira agama tatkala mereka memerlukan bantuan.

“Inilah semangat 1Malaysia Negaraku yang patut dicontohi. kerana membelakangkan faktor agama dan kaum demi membantu golongan tidak bernasib baik,” katanya.


Najib Razak
2 jam yang lalu
Islam mengajar kita berkasih sayang, dan saya teringat kisah Rasulullah SAW yang memberi perlindungan kepada semua tanpa mengira agama tatkala mereka memerlukan bantuan seperti yang tertera dalam Surah At-Taubah, mafhumnya, "Dan jika seorang di antara orang musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah ia."
Bagi saya, tindakan surau-surau dan masjid-masjid yang membuka pintu sebagai tempat berteduh bagi mangsa-mangsa banjir tanpa mengira agama dan kaum adalah tepat, wajar dan sesuatu yang harus dipuji. Inilah semangat 1Malaysia Negaraku yang patut dicontohi.


Semalam, gambar sekumpulan lelaki dan wanita dewasa berbangsa Cina menumpang di Surau Taman Free School di Georgetown, Pulau Pinang, susulan banjir yang melanda negeri tersebut tular di media sosial.

Gambar yang disebarkan itu memaparkan seorang lelaki yang tidak berbaju dalam keadaan kesejukan manakala yang lain sedang duduk atau berbaring menghilangkan kepenatan mereka mengundang pelbagai reaksi.

Namun bagi bilal surau berkenaan, Sapno Tukijo, 50 tahun, beliau tidak mempedulikan pandangan sesetengah pihak di media sosial yang mengecam gambar berkenaan, kerana apa yang lebih penting ialah keselamatan semua pihak.

Sapno berkata, jumlah sebenar mangsa yang ditempatkan di surau berkenaan seramai 70 orang, membabitkan masyarakat Cina dan India yang tinggal di kampung sekitar Lengkuk P Ramlee, di Georgetown.

Hari ini, perdana menteri bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Pulau Pinang dan melawat mangsa-mangsa banjir sambil diiringi oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Setakat ini, lebih 3,000 orang telah dipindahkan ke 42 pusat pemindahan manakala sekurang-kurangnya tujuh orang disahkan mati akibat bencana itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.