HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Disember 2017

Isa nyanyi ‘layang-layang bertali benang putus’

 
Klip video bekas pengerusi Felda itu berkaraoke semalam mengundang pelbagai kritikan.
 
 
Isa-Samad_lagu


PETALING JAYA: Selang beberapa hari aktivis terkenal Mazlan Aliman menitiskan air mata ketika diwawancara mengenai kemelut Felda, klip video menunjukkan Tan Sri Isa Samad sedang mendendangkan sebuah lagu Melayu asli kini tular di laman sosial, mengundang pelbagai kritikan.

Bekas pengerusi Felda itu menyanyikan lagu nyanyian Imam S Ariffin, “Sri Banang dan Pancang Jermal”, di majlis diadakan di sebuah kelab golf di Alor Gajah, Melaka, semalam.

“Mood ok je dia… macam tak ada apa apa je,” kata pengguna Facebook Azizan Che Soh.

“Sekarang memang benang dah putus…kau jawaplah,” seloroh seorang lagi pengguna Radzuan Abdullah.

Video yang berdurasi 1 minit 24 saat itu mula tersebar ketika hangat satu lagi kontroversi membabitkan Felda, mengenai pindah milik tanah yang meragukan di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang dipercayai mempunyai nilai pasaran melebihi RM1 bilion.

Pindah milik itu dipercayai berlaku ketika Isa masih pengerusi Felda, sebelum jawatan itu diberikan kepada Tan Sri Shahrir Samad awal tahun ini.

Antara lirik lagu berirama sedih didendangkan Isa itu adalah berikut: “Layang-layang bertali benang; Putus diganti, putus diganti tali belati; Siang dan malam duduk mengenang; Orang ku kenang, orang ku kenang tak ambil peduli.”

FMT cuba menghubungi Isa tetapi panggilan telefon tidak terjawab.

Sebelum ini, Mazlan yang mengetuai Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) melahirkan rasa sedih dengan skandal yang berlaku di Felda, dan tidak menahan sebak ketika merayu warga Felda untuk bertindak.

“Saya tiada apa-apa kepentingan… Sebagai anak peneroka, kasih dan sayang saya kepada peneroka Felda, saya merayu, berubahlah, demi anak-anak kita yang sedang membesar,” kata aktivis lantang yang rapat dengan Amanah itu.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: