Oleh Athirah Hanapiah
KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya bagi veteran DAP, Lim Kit Siang untuk
'undur diri' dan melepaskan jawatan beliau di dalam parti politik yang
sedang diterajuinya sekarang, kata bekas ahli DAP, Janice Lee.
Katanya, Kit Siang sudah terlalu tua dan lama berada di dalam DAP,
justeru wajar bagi pemimpin itu untuk meletakkan kesemua jawatan yang
disandangnya dan memberi peluang kepada yang lebih muda untuk
menggantikannya.
"Jika mahu parti ini menjadi satu parti yang relevan, seharusnya memberi peluang kepada orang muda.
"Sudah lama orang meminta dia (Lim Kit Siang) menyerahkan kuasa kepada
orang baru. Jika kita lihat MCA, UMNO, MIC dan PAS telah bertukar orang
cuma DAP sahaja masih belum. Hampir 20 tahun. Kerusi mungkin boleh tukar
tapi orang sekarang ikut kuasa bukan jawatan.
"Ini tidak berkaitan antara saya dalam DAP atau tidak, saya beri
nasihat yang sama kepada semua parti. Kita perlu beri peluang kepada
orang baru kerana orang baru mempunyai daya kreativiti dan dinamik. Jadi
mereka mungkin mempunyai pandangan yang berbeza," katanya dalam satu
temu-bual eksklusif bersama Antarapos.
Ketua Parlimen DAP itu sudah berkecimpung dalam politik sejak era 60-an lagi.
Beliau pertama kali dilantik menjadi Ahli Parlimen Kota Melaka pada
1969 dan kini sudah lebih 50 tahun kekal menjadi ahli dewan rakyat.
Kini, Kit Siang merupakan Ahli Parlimen Gelang Patah apabila menang
pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) mengalahkan calon Umno-BN, Datuk
Abdul Ghani Othman.
Penghujung tahun lalu, Kit Siang, 77, disahkan menghidap kanser tahap
pertama dan terpaksa menjalani pembedahan untuk membuang 30 peratus
bahagian buah pinggangnya.
Bapa kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng itu juga sebelum
ini tidak menolak untuk bersara selepas berkecimpung dalam arena politik
selama 51 tahun.
Malah beliau juga pernah membayangkan bahawa PRU14 berkemungkinan menjadi medan pilihan raya terakhir untuknya.
Janice masih aktif
Sementara itu, menceritakan tentang perkembangan terbarunya, Janice
mengesahkan dirinya bakal bertanding semula di DUN yang pernah
dipegangnya sebelum ini, iaitu DUN Teratai.
Malah, beliau yang kini merupakan Setiausaha Parti Rakyat Malaysia
(PRM) itu juga memberitahu akan turut bertanding di Parlimen Pandan pada
PRU kali ini.
"Saya kini bersama Parti Rakyat Malaysia sebagai Setiausaha PRM di Selangor.
"Presiden dan setiausaha telah melantik saya sebagai calon Dun Teratai
dan Parlimen Pandan. Oleh itu, saya akan bertanding di dua kerusi dalam
pilihan raya akan datang," ujarnya lagi.
Untuk rekod, Janice mengumumkan keluar dari DAP pada 2013 selepas parti
memecat keahliannya berikutan pertuduhan penyelewengan dana negeri dan
wang rakyat.
Bagaimanapun Janice menolak tuduhan itu dan lebih malang beliau tidak diberikan peluang untuk membela diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.