KUALA LUMPUR: Diplomat Israel adalah satu-satunya delegasi yang tidak
diberikan sambutan oleh kerajaan Malaysia apabila tiba di Lapangan
Terbang Kuala Lumpur (KLIA) untuk menghadiri World Urban Forum (WUF).
Timbalan Menteri Luar Reezal Merican Naina Merican berkata wakil
daripada Israel itu tidak dialu-alukan oleh kerajaan Malaysia, justeru
kehadirannya tidak diraikan Kementerian Luar.
“Mahu pun Polis Diraja Malaysia, kita tak beri kawalan keselamatan kepada dia.
"Kita serahkan kepada UN (Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu) sebab kita
tak mengalu-alukan kedatangannya, dia dijemput UN dan disebabkan itu dia
dibenarkan masuk," kata Reezal (BN-Kepala Batas) di Dewan Rakyat hari
ini.
Reezal menjawab soalan Ketua Pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail
(PKR-Permatang Pauh) yang bertanyakan sama ada Malaysia bercadang
menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel selepas menerima diplomat
negara itu hadir ke forum WUF baru-baru ini.
Kemasukan duta Israel ke Malaysia itu mencetuskan bantahan banyak
pihak, malah PAS menuduh Umno “talam dua muka” kerana kejadian itu.
Reezal berkata, membenarkan kemasukan diplomat Israel itu tidak
bermakna Malaysia mahu menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara
Zionis itu.
Katanya, pendirian Malaysia berhubung kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin masih tidak berubah.
“Kalau pergi ke Turki, di Turki ada kedutaan di Tel Aviv. Israel ada kedutaan di Ankara.
“Tidak semestinya Erdorgan tidak menentang Israel. Dia dianggap sebagai pemimpin yang paling menentang.
“Kalau di Mesir kita lihat bukan sekarang, di zaman Morsi lagi, orang
yang dikatakan ada jaringan dengan Muslim Brotherhood, Morsi juga tidak
pernah menutup kedutaan yang berada di Tel Aviv mahupun menutup kedutaan
Israel di Kaherah," katanya merujuk kepada Presiden Turki Recep Tayyip
Erdorgan dan bekas Presiden Mesir Mohamed Morsi.
Reezal berkata, hubungan diplomatik Turki dan Mesir dengan Israel lebih
teruk berbanding dengan Malaysia yang membenarkan kemasukan diplomat
daripada negara itu di atas jemputan PBB.
“Lihat 'cost of benefit', yang mana lebih menguntungkan?
"Benda yang kita dapat capai daripada penganjuran WUF, jauh lebih
tinggi dan lebih penting dan memberi kesan yang amat-amat baik kepada
negara," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.