KETIKA tarikh PRU14
masih menjadi teka-teki pelbagai pihak, kini ramalan terbaru pula
menyatakan kempen dan tarikh mengundi akan jatuh pada bulan Ramadan,
yang bermula pada 17 Mei depan.
Adakah atas faktor kemenangan BN pada
PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, yang diadakan pada bulan Ramadan,
iaitu 18 Jun 2016, memungkinkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak memilih PRU14 diadakan ketika umat Islam berpuasa?
Bagaimanapun, bagi penganalisis politik
tempatan, sekiranya PRU14 diadakan pada bulan Ramadan, Pakatan Harapan
bakal menerima manfaat besar.
Penganalisis politik dari Universiti
Utara Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, ini kerana
Harapan yang dikatakan didominasi DAP mempunyai lebih masa bagi tujuan
kempen dan publisiti.
Menurutnya, mereka mempunyai kelebihan
mengadakan kempen kecil-kecilan seperti berkempen dari rumah ke rumah
sehingga kepada kempen besar, melibatkan program bersama masyarakat di
sesebuah parlimen,” katanya.
Menurutnya, parti Melayu Islam seperti
Umno, Pas, Amanah dan Bersatu bakal berdepan sedikit kekangan seperti
tempoh berkempen pada waktu siang dan malam.
“Jika PRU pada bulan puasa, parti-parti
Melayu Islam mempunyai kekangan masa untuk berkempen di waktu siang dan
kekangan berceramah pada malamnya. Kalau kita lihat suasana PRK Sungai
Besar dan Kuala Kangsar, begitu juga akan berlaku pada PRU14.
“Solat tarawih habis sekitar jam 10.30
malam, dan pada jam 12 tengah malam, segala aktiviti berceramah perlu
dihentikan. Dalam soal ini, Umno, Bersatu, Amanah dan Pas tidak
mempunyai kelebihan,” katanya.
Beliau berkata, suhu kempen PRU14 juga akan suam jika ia diadakan pada bulan Ramadan, berbanding bulan lain.
“Bagi orang Islam, Ramadan itu bulan
penuh berkat, keampunan, melipat-kali ganda amalan dan ia perlu
dihormati. Saya menjangkakan setiap parti lebih berhati-hati
mengeluarkan kenyataan, bagi mengelak timbul isu yang mencalarkan imej
dan parti,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik dari
Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi pula
berpendapat, Pas mendapat kelebihan sekiranya PRU14 diadakan pada bulan
Ramadan.
“Kenapa saya kata begitu? Kerana pada
bulan Ramadan, berapa ramai pemimpin dan ahli Pas yang menjadi imam
untuk solat tarawih? Ini menjadi satu contoh terbaik memilih pemimpin
dalam ajaran Islam.
“Secara tidak langsung, ia menjadi satu
kempen yang menjadi nilai tambah buat Pas. Begitu juga bila Ramadan
tiba, pasti banyak program berbentuk keagamaan diadakan dan siapa paling
ramai di situ, kalau bukan ahli Pas,” katanya.
Menurutnya, tidak banyak kelebihan buat parti lain seperti Umno, DAP, Bersatu, Amanah dan PKR dalam kerja kempen mereka.
“Saya ambil contoh DAP, mereka mungkin
lebih senang bergerak pada waktu siang untuk berkempen tetapi masih
perlu menyesuaikan kaedah dan cara kempen pada bulan puasa.
“Begitu juga Umno, walaupun serba
lengkap dari segi jentera dan kewangan, tetapi tenaga jentera pula
terhad,” katanya. – Sinar Harian –

Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.