BELIAU adalah bonda
kami di PAS Kuantan, kami semua memanggilnya dengan panggilan Mak Itam.
Saya tidak ingat sejak bila saya mengenali beliau, namun seingat saya
sejak saya berada di dalam PAS Kuantan beliau telah aktif di dalam Dewan
Muslimat PAS Kuantan sehinggalah dipilih sebagai Ketua Dewan tersebut.
Setelah PAS Kawasan memutuskan N.14
Teruntum mesti diletakkan Calon PAS yang sebelum ini belum pernah PAS
bertanding, PAS Kuantan telah kemukakan tiga orang calon lain di
kalangan Muslimin dua darinya pemilik ijazah dan seorang darinya calon
dari Dewan Pemuda PAS Kawasan.
Masih saya ingat, ketika kami
bermesyuarat untuk memutuskan calon N.14 Teruntum, keempat-empat nama
yang dicadangkan sebagai Calon N.14 Teruntum hadir dan sememangnya PAS
Kuantan memiliki stok calon yang agak ramai, dari kalangan Muslimin,
pemuda dan Muslimat.
Sebagaimana biasa semua mereka menolak
namun akan patuh jika itu adalah arahan parti termasuklah Mak Itam. Lalu
keputusan mesyuarat meminta sayalah yang memutuskan siapakah Calon N.14
Teruntum dan berjanji akan patuh apa juga keputusan saya. Saya meminta
tempoh tiga hari untuk istikharah dan membuat sedikit kajian.
Selama tiga malam saya istikharah, wajah
kesayangan ahli-ahli PAS inilah yang sentiasa muncul. Saya mengambil
masa lagi untuk melihat sejauh mana sokongan terhadap Mak Itam. Yang
pertama-tama pastinya saya melihat sokongan dan sambutan jentera parti
kerana ini adalah perkara yang sangat penting.
Alhamdulillah, jentera parti bukan
sahaja bersetuju dan amat teruja bila saya katakan cadangan saya untuk
meletakkan Mak Itam sebagai calon dan semua AJK PAS Kuantan juga
bersetuju. Lalu saya melihat pula penglibatan beliau di tengah
masyarakat untuk beliau mendapat sokongan rakyat.
Ternyata beliau adalah seorang yang
popular di kalangan masyarakat kerana beliau adalah seorang Ustazah yang
saban hari berkuliah mendidik masyarakat terutama Muslimat. Kuliah
bimbingannya sentiasa "Full house", kuliahnya juga dihadiri
oleh ramai wanita-wanita Umno. Watak lemah-lembutnya dan sifat
keibuannya menjadikan beliau sangat disenangi dan disayangi.
Saya juga melihat kemampuannya untuk
menarik masyarakat Cina yang menjadi majoriti pengundi Teruntum. Rumah
kediamannya di tengah masyarakat Cina. Beliau juga terkenal di kalangan
masyarakat Cina terutama di kawasannya. Mengambil maklumat sambutan
masyarakat Cina kepadanya, ternyata masyarakat Cina di sekelilingnya
sangat menyukai beliau yang disifatkan sangat baik dan lembut.
Ada yang berkata sebagai Muslimat apakah
beliau mampu menggalas tugas sebagai calon dan wakil rakyat jika
diberikan kemenangan? Saya katakan bahawa saya mengenali beliau bukan
baru sehari dua, saya tahu beliau sangat aktif dan komitmen dengan
tugasannya sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS, sejauh mana program pun
beliau hadir, inikan pula bumi Teruntum yang sekangkang kera.
Kadang-kadang kita yang melihatnya
terasa penat. Namun beliau seperti tidak kepenatan langsung. Beliau
sering mengikuti saya dalam program ziarah, malahan selepas bubar
Parlimen ini pun beliau juga mengikuti saya. Tiada nampak pun
tanda-tanda kepenatan, langkahnya tetap laju, semangatnya tetap sentiasa
berkobar-kobar dalam melaksanakan kerja parti dan amal.
Keluarganya besar, Allahyarham bapanya
orang terkenal. Malahan surau nama di Kampung Tengah pun dinamakan Surau
Haji Ali sebagai mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham ayahnya dalam
pembangunan jiwa dan mendidik masyarakat dengan Islam.
Saya penuh yakin beliau dapat menggalas
tugasan dan amanah ini dengan baik. Jentera parti kelihatan begitu
semangat. Anak-anak muda Dun Teruntum kini bersengkang mata untuk
hijaukan bumi Teruntum yang sebelum ini seperti kekeringan. Namun kini
subur dengan bendera dan logo bulan yang bertebar dan berkibar indah dan
megah mengiringi seorang Insan Solehah iaitu bonda kami Mak Itam atau
Ustazah Azizah Md Ali calon N.14 Teruntum.
Ketika saya mengumumkan nama beliau
sebagai calon N.14 Teruntum, saya begitu terharu hingga ianya
menggerakkan jari-jemari saya untuk menulis pandangan mata hati saya
terhadap Mak Itam. Moga Mak Itam diberikan kekuatan oleh Allah untuk
memikul cabaran perjuangan hebat ini InsyaAllah. Takbir.
USTAZ ROSLI ABDUL JABAR ,Pesuruhjaya PAS Pahang/ YDP PAS Kuantan - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.