KUALA LUMPUR: Pusat pakar pergigian, Imperial Dental Specialist Centre
Sdn. Bhd. diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari
ini atas lima pertuduhan berhubung kematian menantu Timbalan Perdana
Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Syed Alman Zain Syed
Alwi, semasa menerima rawatan pergigian di premis berkenaan, dua tahun
lalu.
Hakim Harmi Thamri Mohamad @ Shaharuddin memutuskan demikian selepas
mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas
kelima-lima pertuduhan terhadap pusat pergigian itu yang diwakili
Pengarah Syarikatnya, Dr. Wong Yen Ling pada akhir kes pendakwaan.
Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, Yen Ling selaku orang kena
saman (OKS) didakwa sebagai pemegang lesen telah gagal memastikan Noor
Azima Muhammad Nuwi, 26, untuk menjalankan prosedur radiologi
(orthopantomogram) ke Syed Alman Zain, 44, mempunyai kelayakan berbuat
demikian.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, klinik itu didakwa gagal menyimpan
dan menyenggarakan suatu daftar kakitangan dan tidak menyediakan oksigen
sebagai perkhidmatan jagaan kecemasan asas.
Bagi pertuduhan keempat dan kelima, premis itu didakwa gagal
mengemukakan kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) salinan
semua rekod perubatan pesakit dan tidak mengambil langkah yang cukup
untuk melindungi semua kakitangan profesional jagaan kesihatan dan
persekitaran terhadap bahaya biologikal.
Sementara itu, pada prosiding sama, mahkamah telah melepas dan
membebaskan OKS daripada empat pertuduhan lain selepas mendapati pihak
pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di klinik yang terletak di
Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields, di sini, antara pukul 6 petang
dan 9.05 malam, antara 26 Mei dan 2 Jun 2016.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan