SEREMBAN: Seorang Penolong Pegawai Pertanian Pihak Berkuasa Kemajuan
Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) direman lima hari, mulai hari ini
bagi membantu siasatan berhubung tindakannya melantik isterinya
menjalankan kerja penanaman semula pokok getah di Ulu Muar, Kuala Pilah,
dekat sini, membabitkan nilai bernilai RM18,999.56.
Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman,
Nurhayatie Mohd Saini sebaik dikemukan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, Riduan Kadri.
Lelaki berusia 47 tahun sebelum itu ditahan di pejabat SPRM Negeri
Sembilan jam 5.25 petang, semalam selepas hadir memberikan keterangan.
Sumber SPRM berkata, lelaki berkenaan dipercayai mencadangkan nama
isterinya untuk menjalankan kerja penanaman getah menerusi Skim Bantuan
Tanam Semula yang dilaksanakan RISDA di atas tanah berkeluasan antara
satu hingga dua hektar itu bermula tahun lalu.
"Bertindak atas aduan diterima, pihak SPRM melancarkan Ops RISDA dan
memanggil suspek ke pejabat. Dia yang memberikan keterangan ditahan bagi
membantu siasatan," katanya dipetik BH Online.
Sementara itu Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Ramli Ismail dihubungi
mengesahkan mengenai tangkapan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan