HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Mei 2018

Jangan guna Petronas untuk tampung kekurangan duit, kata Najib

THE MALAYSIAN INSIGHT


Jangan guna Petronas untuk tampung kekurangan duit, kata Najib
Tindakan kerajaan yang mahu menaikkan cukai korporat bagi menampung perolehan negara kerana penghapusan GST tidak sesuai untuk jangka panjang, kata Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
TINDAKAN terbaru kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mahukan Petronas menampung kekurangan perolehan negara disebabkan penghapusan cukai kepenggunaan adalah “rapuh”, kata bekas Perdana Menteri Najib Razak dalam kecaman terbaru terhadap dasar kerajaan.

Najib yang kini kerap memuat naik jawapan balas di Facebook kepada pengumuman dibuat Putrajaya mengatakan kerajaan PH hanya melihat kesan jangka masa pendek.

“Pendekatan ini adalah rapuh (not sustainable) dan bakal mengorbankan jangka masa panjang hanya untuk pembiayaan jangka masa pendek.

“Keuntungan Petronas juga bergantung kepada harga minyak dan gas dunia yang terletak di luar kawalannya. Kebergantungan yang keterlaluan terhadap harga minyak yang tinggi sepatutnya dielakkan,” tulisnya hari ini.

Beliau juga mengecam Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, menuduhnya menggunakan Petronas untuk misi “bail-outs” di masa lalu ketika menjadi perdana menteri keempat.

“Saya mohon kerajaan baharu ini akan terus memberi ruang dan modal yang cukup besar kepada Petronas untuk terus memenuhi visi mereka dan bukannya menjarah dana Petronas atau bagi misi ‘bail-outs’ sebagaimana dilakukan ketika pentadbiran 22 tahun Tun Mahathir yang dahulu,” katanya.

Kenyataan Najib itu adalah jawapan balas kepada kenyataan Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming yang juga pegawai khas menteri kewangan.

Semalam, Ong mengatakan Putrajaya merancang meningkatkan perolehan negara dengan menaikkan cukai korporat termasuklah kepada syarikat minyak negara itu memandangkan harga minyak global tahun ini telah naik kepada AS$70 per barel berbanding jangkaan awal AS$52.

Kenyataan Ong itu dikeluarkan ketika beliau diwawancara stesyen radio BFM yang mengatakan Putrajaya boleh mengutip antara RM8 bilion sehingga RM9 bilion dalam bentuk dividen khas daripada Petronas.

Najib berkata Malaysia perlu berhati-hati dalam penggantungan kepada harga minyak kerana ia tidak menentu, seperti yang berlaku apabila harga minyak global jatuh sehingga 80% pada 2014 dan 2015.

Dalam catatan itu juga, beliau melamprkan laporan kewangan interim Petronas untuk suku pertama 2018.

Najib berkata rizab Petronas meningkat kepada RM164.7 bilion pada hujung Mac 2018 berbanding RM128.2 bilion pada suku keempat tahun lepas.

Katanya, rizab syarikat minyak negara itu lebih tinggi berbanding 2008 ketika beliau mula menjadi menteri kewangan dan ketika itu, beliau sentiasa memastikan Petronas tidak perlu membayar dividen tambahan kepada kerajaan.

Katanya, beliau ia bagi membolehkan syarikat itu mempunyai imbangan tunai mencukupi setaraf statusnya sebagai antara syarikat minyak utama dunia.

Kerajaan menganggarkan pengurangan RM21 bilion setiap tahun apabila kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ditetapkan pada 0% bermula esok. –

Tiada ulasan: