THE MALAYSIAN TIMES
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata beliau tidak akan berundur untuk membantu membawa perubahan yang diperlukan parti itu susulan kekalahan paling teruk dalam sejarah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Sambil menyifatkan dirinya sebagai orang paling ‘senior’ yang masih berada dalam saf kepimpinan parti, Annuar berkata beliau menawarkan diri sebagai calon Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan 30 Jun ini untuk membantu pucuk pimpinan dan Presiden parti dalam usaha merekayasa semula UMNO sebagai satu wadah perjuangan umat Islam, kaum bumiputera dan bangsa Malaysia keseluruhannya.
“Tidak dapat tidak merekayasa mesti melibatkan perubahan besar. Perubahan bukan sahaja pada individu tetapi semestinya melibatkan pada dasar, organisasi, strategi dan modus operandi parti. Saya sanggup bekerjasama dengan Presiden dan MT UMNO untuk memastikan perubahan dilakukan dengan penuh komitmen, cermat, tersusun dan bijaksana, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Annuar yang berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Ketereh pada PRU14 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan Putrajaya yang kini ditadbir Pakatan Harapan berkata roh dan falsafah UMNO akan terus dipertahankan, manakala pendekatan dan amalan wajib diubah.
“Konsep dan penyertaan UMNO dalam BN perlu disemak. Prinsip muafakat antara kaum perlu diperbaharui, malah cara parti memandang ke hadapan perlu pragmatik dan meneliti pelbagai pilihan yang ada demi mencapai cita-cita membela agama, bangsa dan tanah air tercinta.
“Yang paling penting, ini boleh dicapai dengan mendapat mandat ahli secara bersama dan penuh kebijaksanaan,” katanya, sambil menambah beliau sudah 31 tahun menjadi Ketua UMNO Bahagian dan 28 tahun sebagai Anggota MT, dan merupakan seorang daripada ahli penaja UMNO (Baru) dalam membina semula UMNO daripada runtuhan perebutan kuasa tahun 1987 di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah.
Dalam masa yang sama, beliau berkata ketika UMNO direkayasa dan diperkasa, pintu dan jendela kepimpinannya harus dibuka luas kepada pewaris muda yang bakal meneruskan perjuangan parti, katanya yang memohon sokongan daripada perwakilan untuk dipilih sebagai Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan kali ini.
Selain Annuar, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga bekas Menteri Besar negeri itu turut mengumumkan untuk bertanding jawatan sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.