Halaman

Ahad, 3 Jun 2018

ANNUAR : UMNO MASIH LAGI PILIHAN MELAYU-ISLAM




Keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu menyaksikan sokongan pengundi Melayu-Islam di negara ini berpihak kepada UMNO, kata Tan Sri Annuar Musa.

Ketua Penerangan UMNO itu berkata, 60 peratus daripada pengundi Melayu-Islam memilih untuk bersama parti yang menjadi tonggak orang Melayu-Islam itu.

Ia sekali gus memberi gambaran Pakatan Harapan (PH) sebagai sebuah gabungan yang mendapat mandat dari sokongan bukan Melayu.

Memetik “kajian awal statistik” PRU14, Annuar berkata dapatan menunjukkan bahawa UMNO merupakan parti yang mendapat sokongan paling banyak dari pengundi Melayu-Islam dan parti terbesar di Parlimen dengan 54 kerusi.

“Apabila kita tengok corak pengundian pula, 75 peratus daripada pengundian mengundi sama ada calon dari UMNO/BN ataupun daripada PAS dan kalau kita lihat hampir 60 peratus pengundi-pengundi Melayu dan Islam itu memberi dokongan untuk mempertahankan UMNO,” katanya daripada dipetikan UMNO Online.

Jelasnya, fakta ini harus ditekankan supaya rakyat tidak lupa untuk menyokong UMNO dan membolehkan parti itu kekal sebagai parti terbesar di Parlimen.

UMNO menang 54 daripada 79 kerusi BN di Parlimen. PH menang 122 daripada 222 kerusi bagi membolehkannya membentuk kerajaan.

PH memperoleh 47.88% undi popular pada PRU14 termasuk daripada kerusi yang dimenangi melalui sekutunya di Sabah, Parti Warisan Sabah.

BN memperoleh 33.8% undi popular manakala PAS menerusi Gagasan Sejahtera, 17%. Ini meletakkan gabungan peratusan undi popular mereka 50.8%, melebihi PH.

Annuar berkata bukan Melayu dan bukan Islam yang menewaskan UMNO apabila undi Melayu berpecah antara parti itu dan PAS.

Ini katanya, menunjukkan PH adalah gabungan parti politik yang hanya mendapat mandat kuat dari pengundi Cina, sudah tentu dari DAP.

“Sementara UMNO kekal sebagai sebuah parti yang mendapat mandat orang Melayu dan umat Islam tinggal lagi kita tidak mendapat cukup mandat daripada orang Cina dan bukan Islam, daripada parti-parti kompenan termasuk MCA dan parti Gerakan,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.