BEKAS Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu Azmi Nordin hari ini dijatuhi hukuman penjara 36 bulan dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM60,000 pada 2013.
Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz turut memerintahkan Azmi, 59, yang kini bertugas sebagai pegawai perhutanan di ibu pejabat di Kuala Lumpur, dipenjara 18 bulan lagi jika gagal membayar denda berkenaan. Tertuduh membayar denda itu.
Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 bulan bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlahnya 36 bulan, bagaimanapun hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 bulan selepas hakim memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.
Bagi pertuduhan pertama, pada 3 Mac 2013 Azmi didakwa menerima suapan RM30,000 melalui akaun Malayan Banking Berhad milik Azhar Nordin daripada kontraktor balak Yew Keong Fah untuk memperoleh kelulusan membalak di Kompartmen 36b dan 40a, Hutan Simpan Hulu Terengganu, Mukim Tersat.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa menerima suapan RM20,000 pada 16 Jun dan RM10,000 pada 13 Ogos tahun yang sama daripada kontraktor sama melalui akaun Malayan Banking Berhad milik Syarikat D Laman Kulturakebunan bagi mendapat kelulusan membalak di kawasan yang sama.
Mahkamah kemudiannya turut membenarkan permohonan tertuduh bagi penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Farah Yasmin Salleh. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.