THE MALAYSIAN TIMES
SEREMBAN: Seramai 60 penduduk Kampung Serampang Indah (Gatco), Jempol, hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun bagi memohon beliau mengatasi kemelut tanah ladang Gatco.
Memorandum itu diterima Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar, Sharulfaizal Tahar pada jam 3.40 petang di Wisma Negeri di sini.
Setiausaha Anggota Jawatankuasa Badan Bertindak Peneroka Ladang Gatco, John Cantius Francis berkata memorandum itu diserahkan memandangkan kemelut pemilikan tanah di Ladang Gatco telah berlarutan hampir 40 tahun.
“Janji-janji yang dibuat kerajaan yang lepas adalah janji kosong dan saya harap selepas adanya memorandum ini danbuku kecil yang saya dah beri kepada pihak kerajaan negeri, mereka akan mengkaji melalui semua perkara-perkara berikut,” katanya kepada pemberita di sini.
Isu pertikaian ladang Gatco bermula apabila peneroka tidak berpuas hati dengan penjualan ladang itu dan mendakwa wujud penyelewengan dalam penjualan tanah tersebut kepada Thamarai Holdings Sdn Bhd pada 2007 memandangkan syarikat berkenaan hanya membayar RM16 juta sedangkan nilai pasaran semasa ialah kira-kira RM500 juta.
Kes Gatco bermula selepas pemilik asal tanah seluas 2,000 hektar berkenaan, Syarikat Gula Negeri Sembilan ditutup, menyebabkan ladang tebu terbabit dilupuskan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) secara pajakan 99 tahun.
PKNNS kemudian memajakkan tanah tersebut selama 66 tahun kepada syarikat The Great Allonioners Trading Corporation Bhd (Gatco) pada 1977 dan Gatco menjadikan kawasan tersebut sebagai tanah rancangan dengan membawa masuk peserta yang ditawarkan tapak rumah dan tanah kebun seluas 4.048 hektar dengan bayaran antara RM4,000 dan RM7,000 seorang.
Perancangan awal ladang tersebut akan dijadikan ladang getah namun Gatco menghadapi masalah kewangan menyebabkan projek itu terbengkalai dan tanah tersebut dirampas sebelum ditawarkan untuk lelongan awam pada 2004 dan dibeli Thamarai Holdings pada 2007.
Pada 16 April lepas, seramai 140 bekas peneroka Ladang Gatco gagal dalam usaha terakhir mereka di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya berhubung pemilikan tanah.
Ini berikutan keputusan panel tiga anggota diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif yang menolak permohonan kebenaran untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan mereka.– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.