Mesej WhatsApp yang tular menggesa orang ramai supaya membantah pelantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara pada pagi ini hanya menyaksikan kehadiran empat individu.
Mesej berkenaan mencadangkan orang ramai supaya berkumpul pada jam 8 pagi.
Namun menurut portal StarOnline, hanya empat yang hadir dan mengakui mereka dari kumpulan yang dikenali sebagai Pertubuhan Biru Ber "1" Abata Malaysia.
Menurut naib presiden kumpulan itu, Zahlan Ridzuan, memandangkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V telah memberi perkenan kepada pelantikan Thomas maka mereka terpaksa "bersetuju".
"Kita terpaksa akur kerana kita tidak mahu dilabel sebagai 'penderhaka'," katanya yang dipetik oleh portal itu.
Walau bagaimanapun, Zahlan mendakwa kumpulannya percaya bahawa Seri Paduka diberi “tekanan” untuk bersetuju dengan pelantikan itu.
Beliau juga mengkritik Pakatan Harapan kerana membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab sehingga antara lain menjejaskan ekonomi negara.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong merujuk kepada Majlis Raja-raja Melayu mengenai pilihan Putrajaya untuk melantik Thomas sebagai peguam negara.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata atas nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Agong telah menitahkan perkara itu mengikut Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, mesyuarat khas Raja-Raja Melayu berhubung isu peguam negara yang dijadualkan di Istana Negara di Kuala Lumpur hari ini dibatalkan.
Menurut portal Utusan Malaysia, pembatalan mesyuarat tersebut dilakukan susulan perkenan Sultan Muhammad V berhubung pelantikan Thomas sebagai peguam negara yang baru.
Pemakluman perkara berkenaan dilakukan menerusi sepucuk surat bertarikh 4 Jun yang turut mengampuni perkenan penamatan khidmat Tan Sri Apandi Ali dari jawatan yang sama oleh kerajaan.
Pemakluman mengenai pembatalan mesyuarat itu disampaikan oleh pihak polis kepada pengamal media yang membuat liputan di sekitar pekarangan luar Istana Negara pada pukul 11.10 pagi, 10 minit lewat daripda mesyuarat tersebut dijadual diadakan.
LIHAT VIDEO DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan