KUALA TERENGGANU:
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tegas menolak
pendekatan politik secara kotor, malah mengingatkan supaya tidak
membalas fitnah dengan melakukan fitnah juga.
Sebaliknya, beliau menasihati Jentera
Penerangan PAS supaya berpegang kepada prinsip syarak dengan berhenti
dan menjauhi kempen yang menghampiri makruh, apatah lagi jika haram.
Perkara tersebut dikongsikan Ahli
Jawatankuasa Kerja Penerangan PAS Pusat, Syaiful Hizam Abdul Aziz pada
Majlis Berbuka Puasa Jentera Penerangan Bersama Menteri Besar di Sri
Iman, di sini semalam.
Beliau yang mewakili Ketua Penerangan
PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan berkata, sekalipun PAS mungkin
berpeluang menang PRU dengan kempen tidak berakhlak itu, namun Presiden
PAS sama sekali tegas melarang.
Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi
Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Ustaz
Mohd Nor Hamzah dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Mahyuddin Abdul
Rashid.
Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
dalam ucapan beliau menyentuh cabaran media baharu yang berbeza lima
tahun lalu dan akan datang, serta persediaan ahli-ahli dalam mengisi
kemenangan.
“Kita kena gambarkan, kena jangkakan, lima tahun akan datang, cabaran yang mungkin tak sama dengan cabaran PRU baru-baru ini.
"Mengambil kira perubahan teknologi,
aplikasi-aplikasi dan cara berkomunikasi yang ada, memerlukan tuan-tuan
yang terlibat dalam IT, penyebaran maklumat, membetulkan fakta-fakta
yang salah di kalangan rakyat.
"Dan jika kita fikir dari sekarang, membolehkan kita lebih bersedia untuk berdepan dengan suasana akan datang,” ujar beliau.
Tambah beliau lagi, jika hampir PRU
baharu jentera mahu memulakan persiapan, ia mungkin menjadi suatu tugas
berat untuk dilaksanakan, maka persiapan mesti diperkemaskan dari
sekarang.
Serunya, sikap belajar daripada pengurusan media di negara-negara lain juga perlu dibuat sebagai ‘case study’ untuk pasukan media PAS lebih maju dan terkehadapan, contohnya di Indonesia bagi Pemilu yang terdekat.
Kerja media juga kata Dr Samsuri, tiada
rehat kerana selepas habis PRU, maka akan terus membuka idea baharu bagi
memantapkan lagi penyebaran maklumat agar sentiasa strategi PAS berada
di hadapan lawan.
Sementara itu, Ustaz Mohd Nor dalam
ucapannya menyatakan bahawa pandangan semua anggota dalam organisasi
penerangan sentiasa diambil kira, tetapi pimpinan yang memutuskan.
"Sama ada sesuai atau tidak (pandangan itu) kerana tentera tidak boleh memaksa untuk pimpinan menerima mutlak cadangan mereka.
“Inilah sikap yang mesti diikuti oleh
semua sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah tentera mesti taat
sama ada suka atau tidak dengan arahan itu.
"Ada sesetengah sikap tentera yang suka
melanggar disiplin arahan dari ketua, ini jelas satu sikap yang tidak
boleh dipakai dalam organisasi,” tegas beliau.
Tambah beliau lagi, pasca PRU, PAS akan
melakukan sesuatu yang lebih aktif dengan menyusun kembali pasukan media
Terengganu bagi menyahut saranan Menteri Besar, agar ia lebih berkesan
dalam menawan hati rakyat.
Beliau menggesa agar diberi keutamaan
kepada imej Kerajaan Terengganu supaya ditonjolkan dengan lebih kemas
dan teratur bagi memaklumkan kepada rakyat perlaksanaan dasar-dasar
kerajaan yang telah dibuat. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan