Halaman

Khamis, 21 Jun 2018

Kerajaan suntik dana RM2.8 bilion untuk siapkan TRX

THE MALAYSIAN INSIGHT
Kerajaan suntik dana RM2.8 bilion untuk siapkan TRX
Kerajaan memberi jaminan untuk menyiapkan projek Tun Razak Exchange (TRX) yang bermasalah disebabkan penyelewengan dana sebanyak lebih RM3 bilion oleh 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight,
 
PROJEK Tun Razak Exchange (TRX) akan disiapkan, meskipun kerajaan terpaksa menyuntik pembiayaan tambahan sebanyak RM2.8 bilion dan lebih daripada RM3 bilion dana kerajaan untuk TRX City Sdn Bhd (TRXC) diselewengkan oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

 “Suntikan tambahan RM2.8 bilion, selain RM3.7 bilion yang dipindahkan sebelum ini ke TRXC, akan menjadikan jumlah pembiayaan oleh kerajaan sebanyak RM6.5 bilion,” katanya.

Lim juga mendedahkan TRXC tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk kerja-kerja prasarana bagi menyiapkan projek tersebut dan telah meminta bantuan kewangan daripada kerajaan.

“Alternatif untuk tidak menyediakan pembiayaan RM2.8 bilion dan tidak menyiapkan projek itu, kerajaan terpaksa membayar pampasan RM3.51 bilion, serta Kuala Lumpur akan dibelenggu dengan satu projek mega terbengkalai yang besar,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata selain terpaksa membawa pampasan tersebut, kerajaan juga akan kehilangan RM3.7 bilion sebagai kos lepas yang diperuntukkan kepada TRXC sebelum ini.

“Semalam, Kabinet bermesyuarat dan memutuskan projek TRX akan disiapkan, dengan pembiayaan kerajaan sehingga RM 2.8 bilion. Keputusan ini akan membantu melenyapkan kebimbangan dalam kalangan pelabur tempatan dan asing yang melabur berbilion-bilion ringgit dalam projek itu.

“Projek itu juga akan membantu menjana kembali segala dana yang diselewengkan serta membayar balik semua pinjaman lama, dengan mengambil kira kos peluang dan pelaburan yang dibuat serta meraih lebihan kecil yang akan menampung pelaburan lepas. Penyiapan TRX akan membolehkan projek tersebut mencapai nilai penuhnya yang sekurang-kurangnya RM7.6 bilion.

“Saya mengarahkan pihak pengurusan TRXC yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Azmar Talib dan Pengarah Eksekutif Tan Hwa Min untuk membuat laporan kepada panel penyiasatan 1MDB dan kepada polis tentang penyelewengan dana RM3.1 bilion oleh 1MDB,” kata Lim.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Kabinet memutuskan untuk meneruskan projek TRX memandangkan ia akan memberi sedikit keuntungan kepada kerajaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 21 Jun, 2018.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Kabinet memutuskan 
untuk meneruskan projek TRX memandangkan ia akan memberi 
sedikit keuntungan kepada kerajaan. – Gambar The Malaysian 
Insight oleh Seth Akmal,
 
Beliau berkata Kementerian Kewangan akan memastikan suntikan dana itu dibelanjakan dengan berhemat bagi melindungi kepentingan pembayar cukai Malaysia, pelabur TRXC tempatan dan asing sedia ada.

TRXC, pemaju TRX adalah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan. Sebelum ini, ia dikenali sebagai 1MDB Real Estate Sdn Bhd, iaitu anak syarikat milik penuh 1MDB.

Atas nasihat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, TRXC dipindah milik kepada Kementerian Kewangan pada 31 Mac, 2017 kerana ia menghadapi masalah menjalankan urus niaga hartanah dan mengalami kesukaran mendapatkan pembiayaan bank disebabkan oleh hubung kait syarikat itu dengan 1MDB.

Untuk pengetahuan umum, TRXC adalah pemilik dan pemaju induk dua projek hartanah yang sebelum ini diletakkan di bawah kawalan 1MDB. Dua projek tersebut merangkumi TRX seluas 70 ekar dan Bandar Malaysia seluas 486 ekar.

Sejak 2012, kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM3,688 juta melalui jaminan pinjaman, pemberian pendahuluan, pemindahan dana dan pembelian tanah daripada TRXC.

Daripada jumlah RM3,688 juta tersebut, RM3,067 juta diselewengkan oleh 1MDB dan sebahagian besarnya digunakan untuk membayar hutang.

Ini mengakibatkan TRXC kekurangan dana untuk memenuhi tanggungjawabnya sebagai pemaju induk projek TRX.

Sehingga kini, TRXC sudah menjual beberapa bidang tanah kepada pelabur tempatan dan antarabangsa seperti Mulia Property Development (Menara The Exchange 106), HSBC, Affin Bank, Lembaga Tabung Haji, WCT, Lendlease dan IJM (Menara Prudential).

Menara The Exchange 106 dan Menara Prudential dijangka siap dibina pada awal tahun depan. – Bernama,

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.