UMNO mempertikaikan tindakan pilih kasih kerajaan yang lebih mementingkan penguasaan ke atas Kepulauan Spratly yang jaraknya beribu kilometer (km) berbanding Pulau Batu Puteh yang jaraknya hanya 12.8 batu nautika (23.7 km) dari sempadan negara.

Unit Komunikasi Strategik UMNO dalam satu kenyataan hari ini berkata Pulau Batu Puteh adalah sebahagian daripada kawasan perairan dan kedaulatan negara sejak Empayar Johor kurun ke-16.

Katanya, dari segi logik, Pulau Batu Puteh juga mesti dituntut menerusi dokumen yang ada dan diserahkan semula ke Mahkamah Antarabangsa di The Hague.

“UMNO tidak dapat menerima logik di sebalik ‘permainan’ (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) dan Pakatan Harapan (PH) dalam kes Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca kerana tuntutan ke atasnya dibuat sejak zaman Dr Mahathir menjadi perdana menteri keempat lagi.

“Hasrat Menteri Besar Johor, Osman Sapian untuk menemui Dr Mahathir dan merundingkan semula isu Pulau Batu Puteh dan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) dengan Singapura amat disokong.

“Adakah isu pengguguran Pulau Batu Puteh itu menjadi antara persetujuan dalam rundingan Dr Mahathir dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, bulan lalu sebagai ‘syarat’ untuk membatalkan HSR?” katanya.

Menurut kenyataan itu, jika benar, ternyata kerajaan sanggup menggadai maruah dan kedaulatan negara bagi memelihara kepentingannya dengan negara jiran dan ia sama sekali tidak dapat diterima, lebih-lebih lagi oleh rakyat Johor.

Dalam pada itu, UMNO menyambut baik kenyataan Perdana Menteri mengenai perlunya Malaysia meneruskan penguasaan ke atas pulau di Laut China Selatan.

Katanya, ia mencerminkan betapa kerajaan memandang berat isu kedaulatan negara serta haknya ke atas Pulau Layang-Layang yang dikuasai dan dibangunkannya.

“Bagaimanapun, UMNO merasakan sesuatu yang pelik apabila beliau menggugurkan tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh milik Johor yang jaraknya cuma 12.8 batu nautika dari sempadan Malaysia.

“Nampaknya kerajaan lebih mementingkan Kepulauan Spratly yang jaraknya 1,688 km itu sebagai satu-satunya hak yang perlu dipertahankan,” katanya.

Katanya, UMNO mempertikaikan tindakan Kabinet dan rakyat terutama penyokong PH yang hanya berdiam diri apabila tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh digugurkan.

“Adakah mereka takut menentang Dr Mahathir yang mengamalkan politic ‘corporate and legalistic entity’ ini?

“Dalam ertikata lain, mereka semuanya akur dengan segala keputusan Perdana Menteri, seolah-olah beliaulah yang membuat segala keputusan secara berseorangan dan tidak boleh disanggah oleh orang lain,” katanya.

Sehubungan itu UMNO berharap isu Pulau Batu Puteh akan kembali ke meja rundingan Perdana Menteri dan Menteri Besar Johor.

Ini kerana, katanya tidak ada gunanya bercakap mengenai maruah dan kedaulatan negara jika mudah tunduk kepada kepentingan politik peribadi.

“Amat menyedihkan kerana era dan cara ‘authoritarian’ beliau dipraktikkan semula di zaman siber ini, seperti arahannya kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk memberi tumpuan kepada `mengorek’ kepincangan kerajaan terdahulu saja serta sanggup membatalkan apa saja projek yang dimulakan oleh kerajaan terdahulu atas dasar balas dendam.

“Jika amalan ‘vengeance’ yang digunapakai oleh PH, rakyat akan berdepan dengan dasar pentadbiran yang bersifat caca marba sedangkan sepatutnya apa juga dasar luar negara Malaysia, ia haruslah bersifat sama dan saling menjaga kedaulatan wilayah,walaupun kerajaan bertukar,” katanya.-BH