Satu memorandum yang dibuat Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) akan dihantar kepada perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi menolak sebarang keputusan kerajaan yang boleh membawa kepada pemansuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata MAPIM menolak sebarang usaha melenyapkan JAKIM kerana agensi tersebut ditubuhkan untuk membangunkan Islam selari dengan pembangunan negara.
Oleh itu menurut beliau JAKIM perlu diperkasakan dan bukan dihapus.
“Sekiranya wujud pandangan pembiayaan membabitkan dana dan perbelanjaan tidak efisien, ianya perlu diperbaiki bukannya JAKIM dihapuskan seperi yang didesak oleh kumpulan berfikiran sekular.
“Bagaimanapun, kita tidak menghalang sekiranya Dr. Mahathir mahu menubuhkan sebuah jawatankuasa khas terdiri daripada golongan pakar dalam ilmu Islam bagi menilai JAKIM,” katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.
Terdahulu MAPIM bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam antaranya Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia dan Citizens International mengadakan perbincangan berhubung isu menghapuskan JAKIM.
Sebelum itu, memetik kenyataan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang seperti dilapor media berkata sebarang usaha menghapuskan JAKIM perlu dirujuk kepada Yang di Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam Persekutuan.
“Perkara 3(5) menyatakan bahawa bagi Wilayah Persekutuan, Parlimen boleh membuat undang-undang berhubung hal ehwal Islam dan menubuhkan majlis bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong.
“Oleh itu, sebarang gerakan untuk menghapuskan JAKIM harus mendapat perkenan dan dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, terlebih dulu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.