HALAMAN SANTAI

Rabu, 20 Jun 2018

Penstrukturan semula industri air Selangor boleh dimuktamad bulan depan, kata MB Selangor

THE MALAYSIAN INSIGHT
Penstrukturan semula industri air Selangor boleh dimuktamad bulan depan, kata MB Selangor 
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata perkara tersebut akan menjadi fokus utama pertemuannya dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang dijadual petang ini.– Gambar fail The Malaysian Insight,
 
MENTERI Besar Selangor Amirudin Shari yakin penstrukturan semula industri air di Selangor yang tertangguh sebelum ini boleh dimuktamadkan segera.

Beliau berkata perkara tersebut akan menjadi fokus utama pertemuannya dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang dijadual petang ini dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali dalam masa terdekat.

“Mungkin sebelum ini disebabkan ada perbezaan pandangan dan sikap antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri (menyebabkan penstrukturan semula industri air tertangguh).

“Tapi kali ini saya percaya dengan keserasian kedua-dua pihak menjelang tarikh luput  (penstrukturan  semula industri air) pada 31 Julai depan, isu berkenaan boleh dimuktamadkan atau sekurang-kurangnya mempunyai alasan kukuh untuk diselesaikan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam, hari ini.

Proses penstrukturan semula industri air di Selangor tertangguh sejak sekian lama susulan kegagalan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan semasa pentadbrian Barisan Nasional (BN) mencapai kata sepakat berkaitan nilai tawaran pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) dan kerajaan negeri Selangor hanya menyelesaikan pengambilalihan tiga syarikat konsesi air yang lain.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua dilantik sebagai menteri besar Selangor yang baharu berkuat kuasa semalam bagi menggantikan Mohamed Azmin yang melepaskan jawatan itu untuk menjadi menteri di peringkat Persekutuan.

Dalam pada itu, Amirudin berkata beliau akan berbincang dengan barisan exco kerajaan negeri untuk melakukan rombakan kecil dalam senarai portfolio sedia ada dan keputusan mengenainya akan diumumkan minggu depan.

Katanya tiada jawatan timbalan menteri besar akan diwujudkan dalam pentadbirannya. – Bernama,

Tiada ulasan: