Halaman

Isnin, 25 Jun 2018

PKR Perak sindir MP Bagan Serai: Ada tak menambah

MALAYSIAKINI



PKR Perak menyifatkan tindakan MP Bagan Serai Noor Azmi Ghazali keluar Umno hari ini dan merancang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai modal akhir untuk meneruskan kelangsungan politiknya sendiri.

Ketua Penerangan PKR negeri, Siti Aishah Shaik Ismail mendakwa tindakan Azmi hanyalah modal akhir beliau untuk meneruskan kelangsungan politik.

"Saya menyifatkan bahawa apa yang dibuat oleh YB Azmi tidak kurang hanya sebagai modal akhir beliau dalam meneruskan kelangsungan politik beliau yang sedia ada.

"Kita semua maklum bahawa beliau merupakan individu di dalam umno yang sebelum ini lantang menyindir dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang langsung tidak melambangkan dan menjaga sensitiviti beliau sebagai wakil rakyat kepada rakyat yang diwakilinya.

"Untuk itu Keadilan Perak tetap berpegang teguh dengan prinsip yang telah dinyatakan bahawa sesiapa sahaja boleh menyatakan sokongan namun itu bukanlah satu jaminan bahawa mereka diterima di dalam Pakatan Harapan (HARAPAN)," katanya dalam suatu kenyataan media malam ini.

Muhasabah, mohon maaf sokong BN

Aishah berkata Azmi perlu menggunakan waktunya di luar Umno untuk bermuhasabah diri dan memohon maaf kerana menyokong kerajaan Umno-BN sebelum ini.

"Kepada YB Azmi sewajarnya beliau menjadikan tempoh ini sebagai masa untuk beliau bermuhasabah dan memohon kemaafan kepada rakyat atas sikap lalu yang telah dilakukan dalam menyokong dan mendokong kerajaan Umno Barisan Nasional.

"Ini masa buat HARAPAN untuk bekerja sebagai Kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat dan biarlah mereka-mereka yang berpolitik untuk hidup seperti YB Azmi hanya menjadi berita politik.

"Ibarat kata pepatah, ada tidak menambah, tiada lebih baik," katanya.

Terdahulu hari ini, Noor Azmi keluar Umno dan mengumumkan sokongannya kepada pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi BERSATU Perak, Faizal Azumu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.