HALAMAN SANTAI

Isnin, 4 Jun 2018

Tiada calon lain untuk Peguam Negara, kata Dr Mahathir

THE MALAYSIAN INSIGHT

Tiada calon lain untuk Peguam Negara, kata Dr Mahathir
Perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan penyelesaian akan dibuat menurut Perlembagaan Persekutuan dan lunas undang-undang.

PUTRAJAYA tidak akan mengemukakan calon lain bagi jawatan Peguam Negara, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, kerana pencalonan Tommy Thomas dibuat mengikut undang-undang.

Perdana Menteri membuat kenyataan itu ketika Raja-Raja Melayu dijadual bersidang dalam satu mesyuarat tergempar bagi mencari penyelesaian kepada kebuntuan lantikan itu.

Menurut Dr Mahathir, Putrajaya sedang berusaha mencari penyelesaian isu itu namun beliau enggan mengulas jalan penyelesaian yang diusahakan itu.

“Usaha sedang dijalankan mengenai masalah ini dan tidak ada manfaat untuk saya buat penjelasan sebelum usaha dijalankan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pakatan Harapan Kedah di Alor Setar, petang tadi.

Menurut Dr Mahathir, di bawah Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri.

"Kita pegang pada prinsip itu," tambah beliau.

Mengenai penolakan pencalonan itu yang didakwa kerana Thomas mendukung "gerakan sekular", Dr Mahathir berkata Istana Negara tidak memaklumkan perkara itu.

Kedudukan Thomas sebagai peguam kepada Lim Guan Eng dalam kes salah guna kuasa semasa jadi Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr Mahathir berkata hal itu tidak sepatutnya timbul kerana adalah haknya sebagai peguam untuk mewakili sesiapa saja.

The Malaysian Insight semalam melaporkan Dr Mahathir menasihati Agong untuk melantik Thomas menggantikan Mohamed Apandi Ali, namun nasihat itu tidak diambil tindakan.

Dr Mahathir turut mengulas mengenai laporan beberapa portal berita yang antara lain menyebut Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V menolak calon yang dicadangkan kerajaan pusat untuk dilantik sebagai Peguam Negara baharu menggantikan Mohamed Apandi Ali.

Laporan itu juga menyebut Raja-raja Melayu turut  menyokong keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk menolak calon yang dicadangkan kerana bukan Melayu dan tidak beragama Islam.

Sementara itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan hari ini menyatakan Raja-raja Melayu akan mengadakan perbincangan khas berhubung isu itu di Istana Negara pada Selasa ini

Tiada ulasan: