Umno menggesa kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak mengamalkan politik balas dendam terhadap kakitangan awam yang menyokong BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Unit Komunikasi Strategik Umno berkata pihaknya memandang serius kenyataan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini mempertikai kesetiaan penjawat awam kerana berkempen untuk BN.
Ini katanya, disusuli kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun bahawa kerajaan negeri sedang dalam proses mengesan dan mengenal pasti kakitangan awam berkenaan.
"Kami bimbang bahawa ini boleh dianggap sebagai ancaman dan penindasan terhadap perkhidmatan awam dalam cubaan untuk melucutkan hak-hak perlembagaan dan demokratik penjawat awam untuk kebebasan berpihak dan kebebasan siapa yang mereka mahu sokong.
"Kami mendesak kerajaan PH menghormati hak-hak ini dan melayani perkhidmatan awam secara adil.
"Untuk memastikan negara ini kekal bersatu, terus maju dan demokratik, maka amalan politik balas dendam perlu dihentikan," jelasnya dalam kenyataan.
Mahathir sebelum ini berkata ramai penjawat mengambil bahagian dalam kempen BN dan ada di antaranya dilakukan secara sukarela.
Keadaan itu, katanya akan mengganggu pentadbiran Pakatan Harapan yang dibentuk susulan kemenangan mereka pada pilihan raya 9 Mei lalu.
Bagaimanapun Unit Komunikasi Strategik Umno berkata semasa pentadbiran BN ramai penjawat awam menjadi penyokong pembangkang dan mereka termasuklah warga angkatan tentera.
"Bagaimanapun, BN tidak memaksa mereka untuk menyokong parti pemerintah atau tidak menjadikan mereka mangsa kerana pendirian politik mereka kerana perlembagaan BN membolehkan rakyat - sama ada dalam perkhidmatan awam atau tidak - mempunyai kebebasan bersekutu dan hak mereka untuk menyokong siapa yang mereka mahukan. Itulah asas demokrasi.
"Kami hanya meminta mereka untuk berkhidmat kepada kerajaan hari ini dengan penuh kesetiaan dan tidak membiarkan politik mengganggu kerja mereka," katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.