Halaman

Jumaat, 22 Jun 2018

Umno harus berubah jika tidak ingin musnah

Oleh Shafique Dassila
 
 
Perubahan Umno mesti dipimpin orang muda dengan dibimbing pengalaman dan kebijaksanaan orang veteran.
 
 
 
Gambar Bernama

Barisan Nasional sudah kalah pada pilihan raya umum ke-14 yang lalu. Landskap politik yang berubah memperlihatkan pelbagai karenah baik dalam kalangan ahli mahupun pemimpin politik pelbagai parti. Namun demikian, Umno tetap menjadi pilihan utama saya dan ramai lagi anak muda melihatkan kepada agenda pembawakan yang tepat dan bertumpu.

Namun kelemahan yang timbul dilihat mampu diperbaiki secara baik. Pemilihan Umno kali ini mempertontonkan ramai wajah baru yang terdiri daripada anak muda baik di peringkat tertinggi, sayap, bahagian mahupun cawangan.

Umno dilihat akan terus menjadi pilihan dengan keahlian lebih 3 juta rakyat. Sokongan ini perlu dimanfaatkan melihatkan Umno parti yang paling lama di Malaysia. Hari ini Umno bukan hanya bertindak sebagai pembangkang, tetapi sebagai kerajaan alternatif, melihatkan Umno memimpin BN dan menjadi kerajaan lebih dari 60 tahun.
Umno masih menjadi pilihan namun “mindset” Umno perlu diubah. Istilah “warlord” dan “veto” perlu dibuang. Pemimpin yang membawa idea baru dan bernas perlu diangkat. Nakhoda yang bijak, berani dan bertanggungjawab perlu dipilih dan dilantik supaya tidak tersasar jauh daripada landasan perjuangan asal.

Umno umpama akademi yang melahirkan pemimpin yang berkredibiliti tinggi dan hebat. Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Umum PKR, Datuk Sri Anwar juga lahir dari acuan dan bumbung Umno. Namun begitu, jati diri perjuangan dan meraikan perbezaan pendapat perlu diterapkan sebagai usaha menambahbaik Umno mengikut situasi semasa.

Pemimpin silih berganti namun Umno teguh berdiri. Hari ini masa yang sesuai untuk pemimpin muda berwajah baru mengambil alih tampuk pemerintahan. Jika dahulu Dr Mahathir, Datuk Seri Najib Razak, Anwar dan Khairy Jamaluddin dipilih sebagai pemimpin di usia muda, kenapa tidak cara ini terus dikekalkan?

Umno memiliki calon pemimpin muda yang hebat dengan membawa idea baru selari dengan peredaran zaman. Anak muda yang kuat dan bertenaga inilah yang akan menjadi lawan yang hebat kepada pemimpin muda Pakatan Harapan seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Kepimpinan dinamik Khairy amat berkesan dalam menarik sokongan generasi baru hari ini dan sangat penting untuk memperbaharui Umno. Ramai anak muda inginkan muka baru yang mempunyai tenaga serta kesungguhan dalam memacu perubahan.

Namun demikian, idea dan gerak kerja dalam parti masih perlu dibimbing oleh pemimpin “senior” dan berpengalaman seperti Tengku Razaleigh Hamzah, di mana mereka mempunyai “wisdom” atau kebijaksanaan. Jika pendekatan baru dan idea ini diaplikasikan, maka saya yakin Umno berupaya menarik kembali sokongan seluruh rakyat.

Selepas perubahan ini, saya rasa Umno harus mula mengambil langkah untuk berdikari dalam mendampingi semua kaum. Kita boleh bermula dengan mencari kaedah untuk mewujudkan komunikasi terus dalam bahasa Cina, Tamil dan sebagainya supaya agenda nasionalisme yang dibawa oleh Umno boleh difahami dengan lebih baik tanpa risiko dipesongkan.

Umno juga boleh mengambil langkah untuk memahami dan mencari titik pertemuan dengan bangsa lain, kerana zaman ini bukan lagi zaman bertoleransi, tapi kini zaman saling memahami.

Saya fikir sekiranya perubahan yang berani ini berlaku, bersama dorongan orang-orang veteran yang berpengalaman, Umno akan kekal jadi relevan dan mendapat kepercayaan daripada rakyat.

Rakyat sudah bersuara dan sedar akan hak serta kuasa mengundi mereka, dan saya percaya rakyat akan inginkan pilihan untuk memilih kerajaan yang lebih baik pada masa akan datang. Jadi, Umno haruslah cuba berubah agar menjadi sebuah alternatif yang lebih baik untuk menjadi kerajaan pada masa depan.

Tapi sekiranya Umno masih mengekalkan cara-cara lama dan tidak mewujudkan penyelesaian untuk meraih pengundi-pengundi muda, saya khuatir Umno akan hilang relevan dan ditelan zaman. Umno harus berubah jika tidak ingin musnah.

*Shafique Dassila ialah calon naib ketua Pemuda Umno Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.