Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menolak cadangan supaya parti Melayu itu bergabung dengan PAS secara rasmi.
Khairy menegaskan, UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu menjadi pembangkang yang berwibawa dan tidak membangkang secara membuta tuli.
“Dengan PAS ini saya tidak setuju bergabung secara rasmi. Kita akan berkerjasama dan lihat isu bukan sahaja PAS tapi mana-mana parti termasuk dalam kerajaan.
“Sekarang Malaysia baharu, dan kita lihat kepada isu. BN tidak akan jadi pembangkang yang hanya nak bangkang sahaja,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, petang Jumaat.
Cadangan itu ditimbulkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang berkata gabungan pemikiran dan tenaga itu untuk mewujudkan satu blok baharu untuk menjaga kepentingan Melayu.
Beliau berkata, walaupun UMNO dan PAS mempunyai kaedah politik berbeza, kedua-duanya mempunyai persamaan dalam memperjuangkan hak Melayu dan Islam.
Tajuddin berkata gabungan itu diyakini boleh memberi cabaran besar kepada kerajaan Pakatan Harapan dan penyokongnya yang sejak akhir-akhir ini mula berani menyuarakan desakan yang menghina kaum dan agama.
“Isu dan tuntutan yang dibuat dalam tempoh satu dua minggu ini agak mengancam survival umat Islam, ini bahaya kepada kita.
“Saya fikir orang PAS pun dah sedar sekarang ni, akar umbi juga sedia untuk kerjasama, ada ruang-ruang yang boleh dilakukan tanpa perlu tunggu jangka waktu yang lama.
“Jika terus nak tunjuk kehebatan masing-masing, kita tak akan berupaya hadapi tentangan lawan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.