Gaji minimum baharu bagi sektor swasta akan diumumkan oleh kerajaan selewat-lewatnya pada Ogos ini.
Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata pihak kerajaan perlu membuat proses semakan dan mendapat kelulusan Kabinet terlebih dahulu sebelum membuat pengumuman.
Beliau berkata Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) akan mengadakan mesyuarat pada 13 Jun ini bagi meneliti hasil Kajian Semula Perintah Gaji Minimum.
“Selepas mesyuarat, kementerian akan menyediakan Memorandum Jemaah Menteri bagi suatu keputusan dibuat kerajaan.
“Saya dimaklumkan JTPGN bersedia membentangkan syor kadar gaji minimum baharu kepada MPGN iaitu badan tripartite (tiga pihak) yang berperanan untuk membincangkan dan membawa syor itu kepada jemaah menteri,” katanya dalam satu siding media selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Sumber Manusia pada Isnin seperti dilapor media.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan sedia mempertimbang cadangan memberi caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada 1.2 juta golongan suri rumah di negara bagi menghargai sumbangan mereka kepada keluarga masing-masing.
Bagaimanapun menurut beliau, mekanisme pelaksanaannya akan diteliti sama ada bersesuaian atau tidak di negara ini.
“Ramai suri rumah adalah di bawah kumpulan B40 dan tidak mempunyai jaringan keselamatan sosial.
“Bank Dunia menyifatkan sumbangan wanita bekerja dan tidak bekerja adalah sama penting kepada pembangunan negara,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan