Kumpulan pesara angkatan bersenjata itu berkata mereka sudah mencadangkan satu kajian perubahan pendidikan tinggi yang akan dihantar ke Putrajaya.
Kajian itu akan melibatkan semakan lembaga pengarah universiti, senat dan ketua fakulti.
“Universiti bukan tempat mereka yang hanya tahu membodek kerajaan,” kata Presiden Patriot Jeneral Brigadier (Bersara) Mohamed Arshad Raji dalam satu kenyataan.
Kajian oleh Gerakan Akademik Malaysia (Gerak) juga mendesak pemansuhan dan pindaan undang-undang yang mengekang kebebasan bersuara seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dan undang-undang baharu seperti Akta Kebebasan Maklumat diluluskan.
“Akses lebih luas kepada institusi pengajian tinggi dan menjunjung meritokrasi. Pengenalan pedagogi kreatif dan amalan penilaian alternatif. Semakan indek prestasi utama (KPI) ahli akademik.
Menyediakan persekitaran kerja lebih selamat. Menghentikan amalan akademik tidak beretika- plagiat, peniruan dan buli akademik,” kata Arshad tentang kajian itu.
Kajian itu juga menyokong pemansuhan Majlis Profesor Negara (MPN) seperti diumumkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini. Majlis itu antara badan yang dianggap kerajaan Pakatan Harapan sebagai “berunsur politik” dan “tidak perlu”.
Arshad berkata kualiti universiti dan akademik bergantung kepada kepimpinan institusi dan bukannya pelajar.
“Jika pelajar tak berapa bagus, kesalahannya patutnya diletakkan di bahu naib canselor, pensyarah dan pengurusan tertinggi.
“Apabila naib canselor kerjanya untuk memuaskan hati ketua politik mereka, begitu juga akan dilakukan oleh ketua jabatan, pensyarah dan kakitangan pengurusan. Kenaikan pangkat tidak dibuat berasaskan merit tetapi kekuatan hubungan mereka dengan naib canselor.
“Kurangnya semangat mengajar dalam kalangan ahli akademik, ditambah dengan kegagalan menerapkan integriti dan kejujuran sejak awal dalam kalangan pelajar; semua perkara ini menjatuhkan standard pendidikan.”
Baru-baru ini Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan naib canselor dan timbalan naib canselor “talam dua muka” akan dinasihatkan untuk letak jawatan.
Katanya, ini selaras dengan dasar kerajaan sekarang yang mahu menyingkirkan semua lantikan politik dan melantik mereka yang benar-benar layak menerajui institusi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan