Anak lelaki Datuk Seri Najib Razak, Datuk Nazifuddin Najib menyifatkan ayahnya yang pernah menjadi perdana menteri sanggup menderita jika itu yang membahagiakan rakyat Malaysia.
"Sekiranya penderitaan seorang bekas pemimpin yang telah dituduh itu dapat membahagiakan rakyat Malaysia yang dikasihi, maka beliau (Najib) sanggup menghadapi penderitaan itu," katanya melalui tulisan yang dimuat naik di Facebook.
Dalam luahan itu, Nazifuddin juga berterima kasih kepada rakan-rakan dan penyokong ayahnya.
Selain mengecam serbuan polis di kediaman ayahnya, Nazifuddin juga menyifatkan Malaysia hari ini tidak jauh beza dengan Malaysia 30 tahun lalu ketika di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
Jelasnya, "pendakwaan berat sebelah" berlaku hari ini sama dengan "pendakwaan yang dahulu, cuma orangnya sahaja yang berbeza".
Berikut merupakan kenyataan penuh Nazifuddin:
Kepada semua rakan-rakan dan para penyokong, netizen dan semua orang yang telah sudi menghadirkan diri untuk memberi sokongan kepada Datuk Seri Najib Razak dari dulu hingga sekarang, saya ingin rakamkan setinggi-tinggi penghargaan saya kepada anda semua; dengan seikhlas hati, terima kasih saya ucapkan.
Kepercayaan, sokongan dan kasih yang anda semua curahkan kepada kami banyak membantu dalam mengharungi dugaan.
Meskipun ia agak sukar, saya harus
berkongsi perasaan saya dengan anda semua, khususnya yang telah
menyuarakan kebimbangan mereka dan telah lama berbuat baik dengan
keluarga kami.
Yang tertuduh di mahkamah hari ini pernah
menjadi pemimpin nombor satu Malaysia, dan sepanjang perjalanan pilihan
raya umum (PRU) ke-14 beliau telah dilemparkan dengan pelbagai tuduhan
fitnah tanpa henti.
Saya mengatakan perkara ini bukan untuk
meraih simpati tetapi untuk menyatakan sesuatu yang benar untuk semua
orang lihat dan fahami: Sekiranya penderitaan seorang bekas pemimpin
yang telah dituduh itu dapat membahagiakan rakyat Malaysia yang
dikasihi, maka beliau sanggup menghadapi penderitaan itu.
Dia adalah ayah saya, dan saya tahu orang
Malaysia mengenali beliau jenis orang yang macam mana. Jika selama 42
tahun beliau berkhidmat dalam kerajaan sebagai seorang penjahat, atau
niatnya untuk mencuri wang rakyat semata-mata, saya tidak fikir beliau
dapat dilantik sebagai perdana menteri Malaysia pada tahun-tahun yang
lalu.
‘Malaysia Baru’ hari ini tidak jauh
berbeza dengan Malaysia lama hampir 30 tahun yang lalu. Pendakwaan
secara berat sebelah yang berlaku hari ini serupa dengan yang dahulu,
cuma orangnya sahaja yang berbeza, kebetulan perdana menteri yang masih
sama.
Saya ingin menyuarakan hakikat ini: kita
sebagai sebuah negara yang melaungkan demokrasi sememangnya tidak matang
dari segi politik, masih mengamalkan politik feudal yang penuh dengan
dendam.
Serbuan polis yang terancang, dilihat
bersama lori black maria di mana mereka datang beramai-ramai hanya untuk
menyerang rumah bekas perdana menteri, pada waktu sahur di bulan
Ramadan lagi.

Sementara itu, persidangan akhbar yang
dibuat, tidak putus-putus semata-mata untuk menimbulkan lagi kemarahan
orang ramai. Bukankah ia prosedur am untuk tidak berkongsi butiran
semasa siasatan sedang dijalankan? Atau adakah ia dibuat semata-mata
untuk mengaibkan lagi ayah saya?
Semalam saya berada di mahkamah, hanya
untuk mengetahui bahawa semua itu tidak penting pun; malah apa didakwa
hari ini adalah tuduhan pecah amanah dan menyalahguna jawatan berjumlah
RM42 juta.
Sementara peguam sedang sibuk bincangkan
nilai ikat jamin, saya terfikir: Logikkah jika seorang perdana menteri
Malaysia boleh dibeli dengan hanya 42 juta ringgit Malaysia? Sekadar itu
sahajakah nilai integritinya?
Jika setiap kes pecah amanah, salah guna
kuasa mahupun rasuah boleh dikaitkan dengan seorang mantan perdana
menteri, maka beliau dan kesemua mantan perdana menteri sebelum ini
haruslah bertanggungjawab terhadap semua kerugian yang telah dialami
sepanjang kepimpinan mereka.
Ayah saya dikenakan denda hari ini oleh
seorang peguam negara yang dilantik oleh kerajaan baru meskipun ia
mendapat tentangan daripada banyak pihak. Ini jelas menunjukkan keadaan
politik semasa yang berpaksikan dendam semata-mata.
Sudah jelas kepada saya bahawa tunjang
manifesto pembangkang sewaktu PRU ke-14 adalah untuk membawa perdana
menteri yang dituduhnya korup ke muka pengadilan di mahkamah.
Inilah yang mereka janjikan, dalam apa jua
cara sekalipun, mereka mesti tunaikan janji mereka secepat mungkin.
Dalam hidup ini saya mempunyai cuma seorang bapa dan seorang ibu, tanpa
mereka, tak wujudlah saya.
Walau apapun terjadi selepas ini, saya
akan tetap setia bersama mereka. Saya akan terus berikan sokongan penuh
saya kepada Najib kerana dia tetap ayah saya, dan dia pernah menjadi
seorang pemimpin Malaysia tercinta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.