Sekiranya akaun Umno terus dibekukan, dan Umno diharamkan ROS, apakah pilihan yang ada pada Zahid? Tidak banyak.
Sebelum ini Dr Mahathir mendedahkan bahawa Zahid bertemunya untuk mendapatkan pedoman bagaimana mahu menguruskan Umno.
Akaun bank Umno sedang dibekukan. Umno masih juga berisiko untuk dibubarkan oleh Pendaftar Pertubuhan meskipun kini ia selesai mengadakan pemilihan parti yang tertangguh lama.
Dalam keadaan tenat ini, ahli Umno tetap memilih Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi presiden Umno meskipun berlaku kontroversi hangat mengenai intipati perjumpaan beliau dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohmad.
Sebelum ini, Dr Mahathir mendedahkan bahawa Zahid bertemunya untuk mendapatkan pedoman bagaimana mahu menguruskan Umno.
Ketika berkempen dalam pemilihan presiden Umno, Zahid pula mendedahkan kepada Umno Selangor bahawa Dr Mahathir meminta berjumpa dengannya dan meminta ahli Umno menyertai Bersatu. Beliau mendakwa beliau tegas menolak pelawaan itu.
Pencanggahan itu menyebabkan penyokong kuat Dr Mahathir, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bangkit mendedahkan bahawa Zahid yang merayuinya untuk mengatur pertemuan dengan Dr Mahathir, bukan sebaliknya.
Siapakah yang bercakap benar?
Andaikan Dr Mahathir dan Khairuddin berkata benar, maka ini bermaksud Zahid yang meminta perjumpaan itu diadakan dan meminta nasihat Dr Mahathir untuk menguruskan Umno. Lalu Dr Mahathir memberitahu beliau supaya membawa ahli Umno dan wakil rakyatnya untuk bersama Bersatu.
Sekiranya Zahid berkata benar, maka Dr Mahathirlah yang mahu bertemu dengan Zahid lalu memintanya membawa ahli Umno dan wakil rakyatnya untuk menyeberang ke Bersatu.
Oleh itu, siapa pun yang bercakap benar, cerita pokoknya apakah Zahid yang kini menjadi Ppresiden Umno akan membawa ahli dan wakil rakyatnya menyeberang ke Bersatu?
Sekiranya akaun Umno terus dibekukan, dan Umno diharamkan ROS, apakah pilihan yang ada pada Zahid? Tidak banyak.
Membawa Umno bersama Bersatu akan melahirkan Umno 3.0. Persamaan utama Umno 2.0 dan Umno 3.0 ialah pengasasnya ialah Dr Mahathir. Perbezaan utama Umno 2.0 dan Umno 3.0 ialah Umno 3.0 berkuasa dalam kerajaan pusat, manakalah Umno 2.0 tidak.
Dr Mahathir memerlukan partinya menjadi parti komponen terbesar di dalam Pakatan Harapan (PH) supaya segala keputusan beliau boleh dilaksanakan dengan mudah dan dihormati, tidak seperti apa yang terjadi pada senarai Kabinet beliau yang tertangguh lama.
Dalam kempennya, Zahid berkata Umno akan kembali berkuasa apabila PH bergolak tanpa pilihan raya yang rumit.
“Kita tahu mereka goyah. Kita mempunyai Ahli Parlimen paling ramai. Pilih saya dan saya tahu apa yang perlu dibuat,” Zahid dipetik sebagai berkata.
Apakah Umno 3.0 jawapannya? Sama-sama kita tunggu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.