Wartawan Watan-Online
Kerajaan Selangor masih meneliti profil beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk dipertimbangkan mengisi satu kekosongan portfolio EXCO negeri.
Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya juga perlu mengadakan perbincangan dengan kepemimpinan PKR negeri dan pusat sebelum membuat keputusan.
“Selepas kita semua sepakat serta setuju siapa yang layak mengisi jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan.
“Selain itu, nama yang telah dipersetujui ini perlu pula dipersembahkan kepada Sultan Selangor,
Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya selepas Program Pelepasan Peserta Konvoi Kembara Jalur Gemilang (KKJG) Jabatan Penerangan Malaysia, di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam pada Jumaat.
Amirudin berkata, buat masa ini tugas melibatkan portfolio itu digalas pejabat Menteri Besar bagi memastikan segala program yang sudah diatur berjalan lancar.
“Mungkin saya akan melantik pembantu buat sementara waktu jika keadaan memerlukan. Buat masa ini kita akan memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Balakong dahulu,” katanya.
Jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan kosong selepas Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia akibat barah usus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.