Sebuah NGO wanita menegur Timbalan Menteri Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Masyarakat Hannah Yeoh kerana menggambarkan insiden serangan terhadap seorang mak nyah di Seremban dengan isu prejudis jantina.
Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Pendidikan Berkualiti dan Institusi Keluarga (WAFIQ) Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar menyifatkan kenyataan itu sebagai kesimpulan yang terburu- buru.
“Ia bukan sahaja berkemungkinan mengganggu siasatan polis, bahkan mengenepikan motif asal serangan yang sepatutnya menjadi fokus agar keselamatan mangsa terjamin.
“Anggapan yang tersasar ini dilihat lebih kepada menjayakan agenda pihak tertentu, tanpa mengambil kira perkara yang sebenar, mahupun dibuat dengan maslahah (keperluan) terbaik untuk mangsa 'in the best interest of the victim'.
“Semua pihak seharusnya menunggu siasatan polis selesai sebelum menguar-uarkan perkara yang tidak sahih,” kata Rafidah (bawah).

Yeoh kelmarin berkata serangan tersebut bukan insiden terpencil dan komuniti transgender telah lama menjadi sasaran serangan dan gangguan di seluruh negara.
Tambah beliau, serangan itu mencabul hak asasi manusia golongan transgender, yang sepatutnya menikmati kebebasan yang sama dengan warganegara lain.
Beliau mengulas kejadian seorang mak nyah yang cedera parah akibat dibelasah sekumpulan lelaki di Taman AST, Jalan Sungai Ujong di Seremban, Rabu lalu.
Mangsa yang mengalami kecederaan dalaman, patah tulang rusuk dan cedera pada belakang dan kepala.
Kejadian pada jam 12.10 tengah malam itu berlaku ketika mangsa berusia 32 tahun didatangi sekumpulan lelaki bermotosikal.
Menurut polis, kumpulan lelaki berkenaan dipercayai memukul mangsa menggunakan kayu dan paip sebelum melarikan diri.
Sementara itu, Rafidah, yang mengenali mangsa secara peribadi itu juga mengutuk serangan terhadap mak nyah itu.
“Tiada sesiapa yang layak menerima layanan sedemikian. Beliau bertuah kerana mempunyai sahabat- sahabat dan keluarga yang prihatin,” katanya yang telah melawat mangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.