Persiapan sambutan Hari Kebangsaan 2018 di Putrajaya berjalan seperti dirancangkan setakat ini dengan keadaan jerebu dipantau dari semasa ke semasa, kata Menteri Wilayah Khalid Abd Samad.
Beliau berkata, selain sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, Putrajaya juga akan menjadi tuan rumah kepada acara Floria mulai 25 Ogos.
"Kalau keadaan jerebu teruk sehingga menjejaskan kesihatan perlu rujuk kepada pihak yang berkenaan tetapi persediaan dibuat untuk mengambil langkah tertentu seperti pembenihan awan dan sebagainya," katanya kepada pemberita ketika ditanya sama ada keadaan jerebu akan menjejaskan sambutan Hari Kebangsaan 2018 di Putrajaya.
Khalid ditemui selepas majlis penyerahan 3,000 unit Jalur Gemilang kepada 12 pengerusi persatuan penduduk Putrajaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya hari ini.
Keadaan jerebu di Putrajaya dan kawasan berhampiran menghampiri paras tidak sihat apabila bacaan indeks pencemaran udara (IPU) berada pada paras 94 setakat pukul 4 petang Jumaat.
Untuk hari ini sehingga 1 petang bacaan IPU berada pada paras 83.
IPU antara kosong dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).
Sementara itu dalam ucapannya pada majlis hari ini, Khalid menyeru komuniti Putrajaya untuk menceriakan kawasan perumahan dan menyemarakkan semangat kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kawasan masing-masing.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.